ANITA Baharom
ANITA Baharom
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon Anita Baharom mengakui sukar untuk membendung perasaan rindu dan sunyi sejak pemergian suami, Allahyarham Mohd Ismadi pada 1 Januari lalu.

Selepas sebulan pemergian Allahyarham, Anita masih lagi cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan baru bersama anak-anak.

Lebih 16 tahun berkongsi hidup bersama, pelbagai kenangan suka duka, jatuh bangun yang dilalui, menyebabkan Anita sukar untuk melupakan Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir secara mengejut di kediaman mereka ketika sedang tidur.

"Sukar untuk saya luahkan perasaan rindu ini kerana saya melalui perasaan rindu yang tidak tertahan pada suami sehingga menjadi seperti orang gila.

"Setiap hari jam 6 pagi, saya akan bangun dan membuka semua pintu, tingkap, lampu, termasuk jeriji besi kerana berasa terkurung dan lemas. Boleh dikatakan setiap jam enam petang pula, saya akan duduk menangis di hadapan rumah.

"Saya cuba untuk tidak mahu menangis kerana penat sebenarnya dan tidak mahu berkabung lama-lama. Namun, sukar untuk saya membendung perasaan rindu dan sunyi," katanya.

Anita berkata, dia bukan tidak reda di atas ujian dan ketentuan Allah SWT, namun dia berpendapat siapa pun yang berada di tempatnya pasti sukar memadamkan kenangan bersama pasangan masing-masing.

Katanya, dia perlu kuat demi anak-anak namun hakikatnya sesekali rapuh apabila terkenangkan arwah suami.

Anita berkata, dua minggu pertama pemergian Ismadi adalah satu tempoh yang cukup getir buatnya.

"Setiap hari saya dan anak-anak akan bercakap mengenai arwah atau kami akan meniru gaya arwah bercakap. Ketika suami masih ada, dia yang akan bangun menyediakan sarapan sekiranya saya tidak sempat dan dia juga akan membuatkan air Milo untuk saya.

"Jadi saya dengan anak-anak sentiasa teringatkan perbualan kami bersama arwah terutama sekali jika arwah meminta anak sulung kami buatkan air untuk saya.

"Itulah yang menjadi kenangan dan pengubat rindu kami terhadapnya. Kami buat masa ini belum boleh tidur di bilik atas, sebaliknya tidur di ruang tamu saja," katanya.

Menurut Anita, sejak pemergian suami, dia bersama anak-anak Syifa Dhia Nurina, 15; Mohamad Dhia Iskandar, 11; dan Mohamad Dhia Mikail, 8, masih belum kuat untuk tidur di bilik yang terletak di tingkat atas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 3:38 PM