FITRI selesa sebagai pensyarah dan hampir ucap selamat tinggal kepada bidang nyanyian.
FITRI selesa sebagai pensyarah dan hampir ucap selamat tinggal kepada bidang nyanyian.
Ridzuan Abdul Rahman

Pahit akan manis akhirnya. Begitulah ungkapan sesuai ditujukan buat Fitri Haris, juara program Gema Gegar Vaganza (GGV) musim kedua pada Sabtu lalu.

Fitri, 34, bukanlah asing dalam industri hiburan kerana pernah menganggotai kumpulan nasyid UNIC sekitar 10 tahun lalu yang popular dengan lagu Demi Cinta Suci dan Hanya Tuhan Yang Tahu.

Bagaimanapun, dengan pelbagai kontroversi peribadi yang dilalui, dia akhirnya mengundur diri daripada UNIC selepas menghasilkan album terakhir berjudul Langkah Tercipta pada 2009.

Fitri pernah merakamkan single berjudul Zikir Terapi Munajat pada 2011. Pada 2012, dia menyambung pengajian peringkat sarjana di New Zealand dan berazam menjadi pensyarah.

Kemudian pada 2014, Fitri melanjutkan pengajian dalam bidang industri kreatif di United Kingdom dan sepatutnya menamatkan pengajian tahun ini.

“Semasa di New Zealand, tumpuan saya hanyalah pada pengajian. Sebaik tamat belajar, saya mendapat tawaran bekerja sebagai pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Bagaimanapun, tak lama kemudian, saya melanjutkan pengajian di United Kingdom pula pada Disember 2014 dan pulang ke Malaysia pada Mac lalu.

“Biasiswa yang diperoleh hanya untuk tiga tahun dan saya akhirnya kembali bekerja sebagai pensyarah di UUM, manakala pengajian dibuat secara jarak jauh,” katanya.

Sempat menghasilkan single berjudul Garis Takdir ketika belajar, Fitri mengakui sudah selesa dengan kerjaya sebagai pensyarah dan hampir mengucapkan selamat tinggal kepada bidang nyanyian.

“Memang diikutkan saya selesa sebagai pensyarah kerana hanya terima gaji setiap bulan. Namun, kebetulan ditawarkan masuk GGV dan saya terima kerana nak cuba nasib. Tak sangka pula saya akhirnya bergelar juara.

“Seperkara lagi, semangat saya untuk menyanyi timbul kerana mendapat sokongan padu daripada kelab peminat yang digelar Fitri Family.

“Kisah pembentukan mereka pun agak unik dan tanpa sengaja kerana saya sering buat ‘live’ video di Instagram dan mereka terpikat hingga akhirnya timbul idea untuk menubuhkan kelab peminat,” katanya.

Kelab peminatnya aktif mengadakan perjumpaan setiap tahun dan tahun lalu, mereka mengadakan perjumpaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

“Saya pulang ke Malaysia untuk beri sokongan terhadap acara ini dan selepas program terus pulang ke United Kingdom.

“Sepanjang dalam GGV, mereka hadir menyokong setiap minggu sehingga saya berjaya menang Anugerah Gema Star Of The Week dan Anugerah Gema Kaseh yang diwujudkan,” katanya.

Sukar percaya kemenangan

Fitri mengakui masih tidak percaya menggenggam gelaran juara GGV2. Bahkan secara peribadi dia tetap mengganggap Adeep Nahar layak bergelar juara.

“Bukan tidak menghormati keputusan juri tapi saya anggap Adeep ibarat guru dan abang. Ketika pengumuman juara dibuat pun, saya katakan kepadanya, sepatutnya dia yang juara dan bukan saya.

“Kemenangan saya mungkin dinilai daripada sudut kreativiti persembahan. Dari segi vokal saya memang kalah dengan Adeep.

“Kami hanya dipisahkan dengan markah yang tipis apabila saya dapat 89.27 dan dia 89. Mungkin kemenangan saya dibantu doa dan bacaan Yasin berterusan daripada ibu bapa sepanjang saya bertanding,” katanya.

Fitri yang berstatus bapa tunggal dan mempunyai seorang anak perempuan berusia 13 tahun tidak menafikan sudah ada pihak yang mengungkit cerita lama berkaitan peribadinya.

“Inilah manusia dan saya kena kenal siapa musuh dan siapa kawan,” katanya.

Mengulas mengenai wang berjumlah RM100,000 yang dimenanginya, Fitri belum memikirkan perancangan selanjutnya.

“Yang pasti dalam wang ini akan ada bahagian untuk ibu bapa, anak, adik-beradik, zakat dan kerja kebajikan.

“Tak lupa juga saya akan buat kenduri untuk meraikan peminat, anak yatim dan rakan media yang memberikan sokongan tak berbelah bahagi,” katanya.

Kata Fitri, dia juga bercadang mengeluarkan single terbaru berkonsep pop balada 1990-an pada minggu ketiga Aidilfitri ciptaan Encik Mimpi.

“Lagunya dah lama siap. Ada juga perancangan untuk menyanyikan lagu ciptaan Awi Rafael kerana dia berminat menghasilkan lagu untuk saya.

“Dia komposer hebat dan saya tak sabar bergandingan dengannya. Moga single kami nanti akan hit di pasaran,” katanya.

Tidak ketinggalan, Fitri tidak melupakan jasa UNIC yang membawanya masuk ke dunia seni.

“Yang dimaksudkan bukan anggotanya tapi nama UNIC sendiri yang diibaratkan seperti ibu bapa yang melahirkan saya,” katanya.

Ditanya perubahan selepas bergelar juara, Fitri mengakui situasi yang dilaluinya sekarang sangat berbeza berbanding dahulu.

“Memang ada perubahan kerana orang mula kenal. Saya akui cara saya macam orang kampung yang selesa pakai kain pelekat dan seluar ‘track’ pergi pasar malam bersama anak, tiba-tiba ada yang minta bergambar.

“Boleh dikatakan ia satu kejutan budaya buat saya. Memanglah saya dah rasa benda ini ketika bersama UNIC tapi ia berbeza kerana saya dikenali pelbagai golongan usia dan peringkat termasuk mat motor.

“Jadual saya sudah padat sehingga Oktober nanti. Saya juga kena habiskan pengajian sebelum November ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 5:41 AM