FITRI dan Lan bakal tampil dengan single duet.
FITRI dan Lan bakal tampil dengan single duet.
Sudirman Mohd Tahir

Walaupun perancangan mengadakan Konsert 2 Dunia dibuat kurang dua bulan, sambutan diberikan luar biasa, sekali gus mencapai objektif penganjuran.

Konsert di Dewan Tunku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada Jumaat lalu itu menampilkan dua penyanyi daripada genre berbeza iaitu Fitri Haris mewakili muzik kerohanian dan Lan Solo untuk muzik rock.

Menariknya, tiket konsert habis dijual yang menyaksikan 500 penonton hadir dari segenap negeri termasuk Singapura.

Fitri, 34, atau nama sebenarnya Mohamad Fitri Mohamad Haris berkata, jenama Konsert 2 Dunia diteruskan tahun depan di beberapa lokasi di seluruh negara dan kemuncaknya di pentas berprestij, Panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah, ini satu lagi kejayaan peribadi saya dan Lan sepanjang pembabitan dalam bidang seni. Sejujurnya, saya tidak menjangka gabungan pertama kali ini berjaya dan mendapat maklum balas positif.

“Apabila tiket habis terjual dan sambutan diberikan pada malam persembahan begitu meriah, saya menganggap ia kejayaan besar untuk semua pihak yang terbabit dalam menjayakan konsert ini.

“Selepas mengadakan post mortem, kami merancang untuk menjenamakan konsert ini dengan mengadakan siri jelajah di seluruh negara bermula tahun depan. Insya-Allah, kemuncaknya diadakan di Istana Budaya. Sebenarnya tarikh sudah ada, tetapi butiran lanjut dikongsikan nanti,” katanya.

Fitri yang juga bekas anggota kumpulan nasyid UNIC berkata, sasaran penonton terbuka dan bukan dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) saja.

“Walaupun lokasi konsert ini diadakan di USM, 70 peratus penonton yang hadir adalah orang luar. Memandangkan konsert ini mendapat kerjasama USM, jadi lokasi konsert dibuat di situ.

“Jika selepas ini ada mana-mana pihak universiti atau kolej ingin bekerjasama, kami terbuka saja. Jika tidak, kami akan cari lokasi yang bersesuaian,” katanya.

FITRI sinonim dengan lagu kerohanian.
FITRI sinonim dengan lagu kerohanian.

Pada konsert yang berlangsung hampir dua jam itu, Fitri dan Lan menyanyikan 15 lagu secara solo dan duet.

Menerusi segmen pembukaan, mereka memilih lagu Hati Emas nyanyian asal Datuk M Nasir dan Kembara.

Untuk segmen solo, Fitri menyanyikan lagu popularnya seperti Wahai Kekasihku, Hanya Tuhan Yang Tahun 2018 dan Zinnirah versi Gema Gegar Vaganza 2018.

Lan pula memilih lagu Memburu Impian, Delaila dan Seragam Hitam.

Bagi segmen medley, Fitri dan Lan berduet menerusi lagu Bismillah (Raihan) dan Pak Belalang (Kristal). Kejutan untuk peminat juga, mereka mencabar diri dengan menyanyikan lagu Anta Permana (Datuk Seri Siti Nurhaliza) dan Ghazal Untuk Rabiah (M Nasir dan Datuk Jamal Abdillah).

Bagi mengakhiri persembahan, kedua-duanya sekali lagi memukau dan mengejutkan peminat menerusi rangkaian lagu rock iaitu Seruan (Lefthanded) dan Kamelia (Sweet Charity).

Lan yang juga bekas anggota Kristal meluahkan rasa terharu dengan sambutan dan sokongan diberikan penonton.

Malah, Lan tidak sabar untuk meneruskan siri jelajah konsert itu tahun depan kerana menyifatkan Konsert 2 Dunia boleh pergi jauh dan diterima baik peminat.

“Sejujurnya, sepanjang persembahan dan selepas konsert saya tak boleh nak gambarkan perasaan ini. Saya sangat terharu dengan sambutan dan sokongan diberikan peminat. Mereka sanggup datang dari jauh dengan membeli tiket untuk menyaksikan gabungan kami.

“Saya melihat kedua-dua kelompok peminat terhibur, apatah lagi ini kali pertama mereka meyaksikan kelainan daripada kami dalam menyanyikan genre muzik berbeza. Apabila saya menyanyikan lagu kerohanian, peminat sangat teruja. Begitu juga dengan peminat Fitri.

“Lebih membuatkan saya terharu apabila ramai memberikan maklum balas tak puas menyaksikan konsert ini. Mereka mahukan lebih lagi,” katanya.

LAN popular dengan genre rock.
LAN popular dengan genre rock.

Lan berkata, dia merancang untuk menghasilkan single duet baru dengan Fitri pada siri konsert akan datang.

“Saya sangat setuju sekiranya konsert ini diteruskan. Bagi saya, konsert ini berbeza dengan kebanyakan konsert sedia ada. Malah, saya menyifatkan konsert ini boleh dibawa ke peringkat lebih tinggi.

“Kalau boleh, kami nak jadi pelopor kepada persembahan yang menggabungkan dua muzik berbeza.

“Memandangkan konsert ini mendapat sambutan luar biasa, insya-Allah pada siri akan datang kami akan merancang single duet baru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 10:14 AM