BOB Lokman semakin stabil selepas dimasukkan ke Hospital UiTM Sungai Buloh. FOTO NSTP
BOB Lokman semakin stabil selepas dimasukkan ke Hospital UiTM Sungai Buloh. FOTO NSTP
Ridzuan Abdul Rahman


KESIHATAN pelawak dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman, 55, yang dimasukkan ke Hospital UiTM Sungai Buloh akibat masalah buah pinggang pada Ahad lalu, kini semakin stabil.

Isterinya, Relawati Daud, 42, ketika dihubungi berkata, suaminya berada dalam keadaan baik dan doktor masih dalam proses membuang air dari badan.

"Alhamdulillah, Abang Bob mengalami perkembangan kesihatan positif.

"Sebelum ini keadaannya lemah kerana air banyak dalam badan selain ada alahan ubat di kaki," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman mengalami masalah kesihatan ketika berada di Terengganu ketika menyertai aktiviti jelajah dakwah dan jemputan kuliah selama sebulan.

Menurut Relawati, doktor juga sudah mengurangkan cecair yang disuntik di tangan suaminya.

"Dia sudah mula makan pil semula untuk stabilkan semula air. Sebelum ini, Abang Bob memang makan pil tapi tak menjadi.

"Itu membuatkan kaki bengkak kerana pembuangan air tidak lawas.

"Masalah ini sebenarnya tidak mengganggu buah pinggang dan paru-paru. Air belum sampai ke paru-paru," katanya.

Menurut Relawati, sehingga kini doktor sudah mengeluarkan lima kilogram air dari badan suaminya.

"Masih ada lagi lebihan air yang perlu dikeluarkan. Doktor nak pantau kesihatan dia dan mungkin sehari dua lagi dijangka akan dibenarkan keluar hospital.

"Dia juga sudah lega dan boleh bernafas dengan baik. Kudis akibat alahan ubat juga sudah kering.

"Ramai rakan Abang Bob datang melawatnya. Terima kasih kepada yang memberi sumbangan," katanya.

Ditanya adakah suaminya akan meneruskan aktiviti dakwah dan kuliah sebaik sihat sepenuhnya, Relawati menyerahkan perkara itu kepada suaminya untuk membuat keputusan.

"Dia memang nak mulakan kuliah semula. Mungkin saya kena sediakan pembantu untuk bawa dia pergi kuliah.

"Saya tidak halang kerana jika dia berasa mampu, teruskanlah. Abang Bob tahu sejauh mana tahap dia boleh aktif.

"Dia sebenarnya tak boleh jalan terlalu laju. Kalau buat kuliah, dia kena rehat 10 minit sebelum kembali sambung berucap," katanya.

Menurut Relawati, dia tidak dapat menemani suaminya memandangkan ada anak-anak yang masih bersekolah

"Mungkin juga anak kami sendiri atau anak saudara boleh menemaninya sebagai pembantu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 5:00 PM