HADITH kurang bersetuju dengan isu dibangkitkan kerana setiap keputusan dibuat masih perlu meminta pandangan pengarah. FOTO Najiy Jefri
HADITH kurang bersetuju dengan isu dibangkitkan kerana setiap keputusan dibuat masih perlu meminta pandangan pengarah. FOTO Najiy Jefri
Najiy Jefri


PENGARAH muda, Hadith Omar menolak dakwaan segelintir pengarah senior yang menganggap pengarah muda kini terlalu mengikut kemahuan penerbit dan stesen televisyen hingga hilang kualiti terhadap sesebuah karya dibawakan.

Hadith, 33, yang mula serius dalam dunia pengarahan sejak empat tahun lalu berkata, dia kurang bersetuju dengan isu dibangkitkan kerana setiap keputusan dibuat masih perlu meminta pandangan pengarah.

Katanya, baru-baru ini timbul isu mengenai pengarah senior tidak bersetuju dengan cara serta pembawaan pengarah muda kerana mereka berasakan kualiti drama dipaparkan sekarang tidak sebagus dulu.

“Malah, pengarah muda juga dilihat terlalu mengikut kehendak produser dan stesen televisyen hingga hilang kreativiti sedangkan saya sebagai pengarah muda masih ada kuasa untuk membuat keputusan.

“Cuma dalam setiap karya yang dipersembahkan, saya akan lihat dari sudut perniagaan kerana perlu memuaskan hati semua pihak. Ada banyak individu yang perlu saya jaga.

“Saya nak semua orang gembira dan berasa puas dengan karya yang dibawakan. Lagipun naskhah yang dibawakan sekarang ini terbukti mempunyai pengikut dan permintaan tinggi,” katanya.

Sejak mengarahkan drama Dia Semanis Honey lakonan Alif Satar dan Siti Nordiana, nama Hadith dalam dunia pengarahan mendapat perhatian ramai hingga berjaya mengarahkan beberapa drama popular termasuk Cik Reen Encik Ngok Ngek.

Terbaharu, Hadith sedang sibuk mengarahkan drama bersiri terbitan Suhan Movies berjudul Calon Menantu Tuan Rumah terbitan RTM.

Menurut Hadith, sebagai pengarah muda dia memerlukan tunjuk ajar serta sokongan daripada pengarah senior supaya industri kreatif itu akan terus berkembang.

“Pengarah lama dan baru perlu bersatu kerana industri hiburan kini sedang berkembang. Jika tidak saling menyokong percayalah kita sendiri yang akan menghancurkan industri ini.

“Jadi saya harap pengarah senior dapat berkongsi ilmu kepada pengarah muda seperti saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 7:18 PM