WATAK dibawakan Iman dalam Takdir Yang Tertulis dapat perhatian netizen.
WATAK dibawakan Iman dalam Takdir Yang Tertulis dapat perhatian netizen.
Najiy Jefri


NAMA pelakon, Iman Suhana tiba-tiba meledak gara-gara lakonannya dalam drama bersiri Takdir Yang Tertulis yang kini ditayangkan di slot Samarinda TV3.

Menjayakan watak sebagai Rozita, Iman atau nama sebenarnya Norsuhana Mohamad Wahid berkata, dia bersyukur apabila watak yang dibawakan mendapat maklum balas positif daripada penonton.

Tambahan pula, drama arahan Shahrulezad Mohamedin itu bukan mudah, malah pengarah itu dikenali dengan sikap yang mementingkan kesempurnaan.

"Pada awal penggambaran, ada bahagian yang mana abang Ijat tidak berpuas hati sebab dia kata tidak cukup apa yang saya beri. Dia suruh saya ulangkaji lagi di mana saya melihat lakonan Amyza Aznan dan Didie Alias. Itu yang banyak membantu saya dan syukur selepas dua hingga tiga hari baru saya dapat bawa watak itu.

"Jadi, pada awalnya saya akui tertekan dan terganggu sebab tak dapat bagi apa yang pengarah mahu. Ia secara tak langsung memberi kesan kepada emosi kita di lokasi penggambaran. Tapi, bila sudah dapat menjiwai, saya seronok. Malah segala penat lelah di set penggambaran juga berbaloi selepas orang ramai nampak dan hargai karakter saya," katanya.

Sejak drama itu mula ditayangkan pada 21 Januari lalu, watak dibawakan Iman sering mendapat perhatian netizen kerana gelagat bersahaja yang dibawakan setiap episod.

AGAK tertekan pada permulaan penggambaran Takdir Yang Tertulis kerana tak dapat beri apa yang pengarah mahu.
AGAK tertekan pada permulaan penggambaran Takdir Yang Tertulis kerana tak dapat beri apa yang pengarah mahu.

Kata Iman, dia bersyukur apabila orang ramai mula melihat bakat seninya, sekali gus menambahkan semangatnya untuk terus memberikan yang terbaik.

"Alhamdullillah ramai yang mengatakan watak Rozita menjadi, tidak seperti dibuat-buat. Watak itu diakui jahat, tapi penonton tak sampai hati nak marah sebab kelakar. 99 peratus komen yang saya baca semuanya begitu," katanya.

Terdahulu, Iman pernah menjayakan watak Melina menerusi drama rantaian Monalisa, lakonan Zara Zya. Drama yang ditayangkan pada 2018 itu adalah lakonan pertamanya bersama syarikat produksi Radius One.

Tidak pernah mengalah untuk terus membina nama dalam industri seni, Iman menanam impian untuk terus melakar kejayaan demi kejayaan drama naskhah akan datang.

"Alhamdullillah tuah dan rezeki saya menerusi drama Takdir Yang Tertulis ini. Syukur juga usaha saya untuk memberikan yang terbaik dihargai. Saya berterima kasih kepada syarikat produksi Radius One kerana memberi saya peluang, menerusi produksi ini saya mula tampil di skrin televisyen iaitu menerusi drama Monalisa," katanya.

Berkongsi mengenai permulaan dalam bidang seni, Iman yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Jurusan Teater (Pengarahan) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu banyak menjayakan teater selepas dia tamat belajar.

"Habis saja belajar saya dapat bekerja sepenuh masa sebagai 'performer' di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur bersama produksi Datin Tiara Jacquelina. Kemudian habis kontrak dan panggug itu pun tutup. Jadi, saya buat keputusan untuk menghadiri uji bakat Radius One dan dari situ saya dapat membintangi Monalisa. Alhamdulillah di situ saya bermula tampil di televisyen," katanya yang akan tampil dengan drama Love Elsa arahan Micheal Ang selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 6:18 AM