Pengarah filem Eva, Suhaiza Aziz
Pengarah filem Eva, Suhaiza Aziz
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Filem sulung arahan Suhaiza Aziz iaitu Eva mencipta kejutan apabila dipilih sebagai pemenang bulanan bulan Julai bagi kategori thriller dan suspen di Festival Filem Cannes, baru-baru ini.

Kejayaan Eva mengalahkan dua filem hebat daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE) berjudul Deadline dan Jerman berjudul Ivy cukup membanggakan.

Suhaiza berkata, dengan kemenangan itu, Eva akan ditayangkan di Festival Filem Cannes 2023 dan turut dicalonkan untuk merebut anugerah Filem Terbaik Kategori Thriller dan Suspen.

"Saya tidak menyangka sama sekali filem Eva akan menang kerana mendapat saingan yang bukan calang-calang daripada filem dari UAE dan Jerman.

"Apabila tiba-tiba produser, Diyana Ismail menunjukkan poster yang Eva tercalon, kami semua terkejut. Tak sangka kami boleh 'terbang' sejauh ini. Tambahan pula, ini adalah karya pertama saya sebagai pengarah. Walaupun baru tercalon, apabila kami nampak nama Malaysia, bangganya rasa," katanya.

Suhaiza yang berpengalaman selama 15 tahun sebagai penolong pengarah sebelum ini berkata, pada awalnya dia bimbang tidak  mampu untuk mengarahkan Eva kerana 'pembawaan' filem itu sangat berat walaupun genre thriller sesuai dengan jiwanya.

"Namun dengan sokogan padu daripada mereka yang terbabit dalam penggambaran filem ini daripada penerbit sehinggalah kru dan pelakon, saya yakin untuk melaksanakan tanggungjawab itu.

"Saya terima tawaran untuk mengarahkan filem ini kerana selain suka dengan genre sebegini, Eva membawa mesej yang lebih dari sekadar hiburan. Ia adalah filem yang mendasari masalah kesihatan mental, betapa pentingnya mengasihi, memberi peluang dan kehidupan yang baik kepada anak-anak yang lahir daripada hubungan terlarang," katanya yang menjadikan filem-filem Jerman sebagai rujukan di samping meneliti pembikinan filem dari Itali dan Sepanyol. Suhaiza turut menonton filem Tamil untuk mendapatkan kesan visual yang bagus.

Menurut Suhaiza, kemenangan itu bukan saja menjadi pemangkin untuknya menghasilkan karya yang baik, malah menjadi satu titik permulaan kepadanya untuk mendalami lagi ilmu pengarahan.

"Saya faham dan sedar menang atau kalah adalah adat pertandingan. Namun, saya akan terus menghasilkan karya yang berkualiti jika diberikan peluang dengan memastikan apa jua kekurangan dalam pengarahan saya dapat diperbaiki lagi.

"Harapan saya, pengarah muda terutamanya wanita dapat melihat perjalanan Eva ini sebagai sumber inspirasi kepada mereka. Kepada industri perfileman tanah air pula, berilah peluang kepada pengarah muda untuk menggilap bakat dan kreativiti mereka," katanya yang mendedikasikan kejayaan itu kepada semua penerbit dan pengarah filem tanah air.

Filem terbitan D Alpha Legacy Sdn Bhd itu membariskan pelakon seperti Nadia Aqila , Nadia Brian dan Shamsul Danish.

Selain itu, Eva turut dibantu Datuk Jalaludin Hassan, Tony Eusoff, Hasnol Rahmat, Sheera Iskandar, Jay Iswazir, Azrel Ismail, Zain Ruffedge dan ramai lagi.

Eva yang tamat penggambaran pada Februari lalu sedang menunggu tarikh wajib tayang daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk ditayangkan di pawagam di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 3:01 PM