HADITH selaku pengarah memandang serius insiden berlaku.
HADITH selaku pengarah memandang serius insiden berlaku.
Najiy Jefri


PENGARAH drama bersiri Angkara Cinta, Hadith Omar masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kru yang melakukan kerosakan ke atas fosil dan dinding di Gua Matsoorat.

Hadith berkata, dia akan mengambil tindakan tegas terhadap kru produksi yang melakukan kesalahan itu jika didapati bersalah.

Hadith yang mewakili syarikat produksi, Juita Viden Sdn Bhd menjelaskan pihaknya memandang serius perkara itu.

"Memang kami akan mengambil tindakan ke atas kru terbabit. Melalui siasatan awal ada dua atau tiga individu yang kami kenal pasti.

"Buat masa ini kami masih menjalankan siasatan rapi dalam mengenal pasti siapa yang bertanggungjawab atas insiden terbabit," katanya.

Ditanya mengenai ganti rugi yang dituntut kerajaan Perak akibat kerosakan fosil berusia jutaan tahun dan dinding di Gua Matsoorat, Hadith, 33, berkata, pihaknya masih dalam proses perbincangan.

"Soal itu masih dalam perbincangan. Masih tidak tahu berapa nilai ganti rugi, dan ia membabitkan banyak pihak, jadi saya tidak boleh komen lanjut mengenai perkara ini lagi. Apa pun kami akan mengambil tanggungjawab penuh.

"Saya juga ingin meminta maaf selain kesal atas apa yang berlaku," katanya.

HADITH masih jalankan siasatan kenal pasti kru drama rosakkan fosil, conteng dinding gua.
HADITH masih jalankan siasatan kenal pasti kru drama rosakkan fosil, conteng dinding gua.

Dalam masa sama, Hadith turut membuat permohonan maaf kepada semua pihak yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam insiden itu.

Hadith berkata, pihaknya memperoleh kebenaran daripada MBI untuk membuat penggambaran di Ipoh termasuk Gua Matsoorat.

"Kami membuat penggambaran selama dua hari di Gua Matsoorat iaitu pada 27 Februari lalu dan 18 Mac lalu.

"Cuma, selepas selesai penggambaran kedua dan berpindah ke lokasi lain, saya dimaklumkan berlaku pencemaran (kerosakan) di lokasi terbabit.

"Pada 24 Mac lalu, saya berjumpa Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin untuk berbincang mengenai perkara itu," katanya.

Sebelum ini kerajaan Perak mengumumkan akan menuntut ganti rugi akibat kerosakan fosil berusia jutaan tahun dan dinding di Gua Matsoorat selepas syarikat produksi drama Angkara Cinta melakukan penggambaran di kawasan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 6:20 AM