FAKHRUL (kiri) bersama Nurul Husna Sharif selaku johan qariah Johan Pertandingan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Kedah. FOTO Ihsan Mohd Fakhrul Radhi
FAKHRUL (kiri) bersama Nurul Husna Sharif selaku johan qariah Johan Pertandingan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Kedah. FOTO Ihsan Mohd Fakhrul Radhi
Amirul Haswendy Ashari

"SELAGI tidak menjadi Johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa, saya tidak akan berhenti," kata ahli kumpulan UNIC, Mohd Fakhrul Radhi, 32, yang baru saja dinobatkan Johan Pertandingan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Kedah semalam.

Fakhrul berkata, menyertai tilawah al-Quran adalah impian ibu bapanya yang mahu melihatnya menjadi johan di peringkat lebih tinggi.

"Kalau segelintir ibu bapa mahu melihat anak berjaya dalam kerjaya sebagai doktor atau jurutera tetapi ibu bapa saya pula sebaliknya.

"Mungkin tidak ramai yang tahu, saya bermula sebagai peserta tilawah sebelum menyertai kumpulan UNIC," katanya.

Fakhrul menafikan tidak memberi peluang kepada bakat baru dalam bidang itu kerana mendakwa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah sentiasa membuka peluang sama rata kepada mereka yang berbakat.

Katanya, walaupun sudah bergelar artis, dia sendiri pernah gagal beberapa kali malah tidak terpilih ke peringkat akhir sebelum ini.

Juara Akademi al-Quran musim ketiga (AQ3) di TV9 pada 2008 itu pernah menjadi menyertai pertandingan sama pada 2008, 2012 dan 2013.

Pada pertandingan yang berlangsung di Alor Setar semalam, Fakhrul berjaya membawa pulang wang tunai RM7,000, piala pusingan, jam tangan dan sijil.

Pertandingan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan akan berlangsung pada 17 Mac depan di Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 5:52 PM