ROSES. FOTO Aziah Azmee
ROSES. FOTO Aziah Azmee
Ardini Sophia Sina

PERNAH menghasilkan album pada 2007, Red Roses yang awalnya dikenali sebagai Akai E Bara kembali memeriahkan industri seni tempatan dengan semangat baharu.

Dianggotai Syamir selaku vokalis, Med (bass), Aiman (dram) dan Amir (gitar), mereka tampil dengan lagu berjudul Narwastu hasil ciptaan sepenuhnya Anjang Terra Rossa.

Walaupun masing-masing ada pengalaman dalam dunia muzik, mereka masih berekperimentasi bagi melihat kesesuaian lagu buat pendengar.

“Saya dan Med anggota asal Akai E Bara. Aiman dan Amir pula pernah menganggotai Terra Rossa. Disebabkan ada anggota asal Akai E Bara tidak lagi bersama kami, kehadiran dua anggota baharu memenuhi kekosongan itu.

“Akai E Bara menghasilkan album pada 2007. Kemudian kami senyap. Baru-baru ini, Anjang mencadangkan lagu sesuai dengan konsep dan genre yang kami perjuangkan. Saya rasa, tidak salah kembali aktif kerana rasa cinta pada bidang muzik pun tidak pernah pudar.

“Sebenarnya, sejak awal lagi kumpulan kami menggunakan nama Red Roses tetapi pada 2007 kami tukar kepada Akai E Bara yang membawakan maksud sama. Namun, tahun ini kami sepakat menggunakan nama asal kumpulan ini,” katanya Syamir.

Meski sudah lama bertapak dalam industri seni, mereka menganggap diri masih ‘hijau’ dan perlu mengikut peredaran muzik masa kini. Oleh itu, mereka mahu melihat sejauh mana penerimaan pendengar terhadap Narwastu.

Menyedari ramai pendengar suka lagu berentak balada dan mendayu-dayu, mereka sengaja tidak menggunakan bunyi dram dalam lagu yang dihasilkan.

Kata Amir, setiap kumpulan akan melakukan eksperimen untuk menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.

“Walaupun mencintai genre rock, kami perlu cuba sesuatu yang baru agar relevan dengan permintaan semasa. Kami ingin tahu selera peminat.

“Sekiranya konsep yang diketengahkan ini diterima baik, kami akan teruskan. Kami terima pendapat dan saranan peminat untuk memperbaiki mutu lagu.

“Walaupun kami sudah lama dalam bidang ini, ramai yang sudah lupa. Oleh itu, kami kenalah tampil dengan lagu yang mampu menarik perhatian pendengar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 11:46 AM