ANJANG (kiri) dan anggota Terra Rossa.
ANJANG (kiri) dan anggota Terra Rossa.

Bukan mengakui dirinya baik, sebaliknya anggota Terra Rossa, Abdul Halim Hassan atau Anjang begitu kecewa dengan kenyataan bekas penyanyi mereka, Ali yang mendakwa dirinya turut terkena tempias terhadap berita penangkapan penyanyi baru Terra Rossa akibat penyalahgunaan dadah, baru-baru ini.

Anjang yang juga pengasas dan ketua kumpulan yang popular dengan lagu Bunga Angkasa ini berkata, Ali tidak mampu berdiri di atas nama sendiri hingga masih bergantung dengan nama Terra Rossa.

Dek kerana inilah, Anjang yang juga pemain gitar Terra Rossa secara terbuka mendakwa Ali hanya penyanyi tumpang sehingga mencetuskan konflik antara mereka yang turut menerima campur tangan sebahagian peminat.

Ikuti luahan rasa Anjang bersama wartawan RAP, Ridzuan Abdul Rahman ([email protected]).

RAP: Apa yang buat Anjang kecewa sangat?

ANJANG: Saya keliru dengan kenyataan Ali kononnya dia terkena tempias sedangkan terang-terang semua media siarkan nama penyanyi baru Terra Rossa. Jadi, apa lagi yang tak kena pada dia?

Kalau diikutkan, salah dia juga masih menggunakan nama Terra Rossa sedangkan saya dah beritahu jangan gunakan nama kumpulan ini. Buat apa nak dikaitkan lagi dengan Terra Rossa sedangkan dia sudah lama tinggalkan kumpulan ini.

RAP: Ceritakan sedikit mengenai asal usul Terra Rossa?

ANJANG: Memang saya yang tubuhkan kumpulan ini dengan anggota asalnya Wazir (dram), Aepul (gitar kedua) dan Nan (gitar kedua). Kemudian barulah kami ambil Ali sertai kumpulan ini.

Saya meninggalkan Terra Rossa ketika mereka dalam proses menghasilkan album kedua tapi lagu ciptaan saya, Kehendaknya sekali lagi menaikkan kumpulan ini dan Terra Rossa tetap kekal dengan sentuhan saya.

RAP: Apakah Anjang ada perancangan untuk bergabung dengan anggota asal termasuk Ali?

ANJANG: Memang perancangan itu ada. Selepas kontrak saya bersama Jinbara berakhir, saya berhasrat nak buat reunion Terra Rossa, tapi anggota lain kurang setuju. Apabila diselidik rupa-rupanya mereka enggan terbabit jika Ali turut sama.

RAP: Apakah ini berpunca daripada tuduhan Ali yang mengatakan anggota lain tidak berdisiplin?

ANJANG: Itu satu tuduhan melulu. Kalau mereka tiada disiplin, takkanlah mereka boleh bermain muzik sehingga ke luar negara. Di sini kita dapat lihat siapa yang benar dan siapa salah.

RAP: Kenapa dakwaan Anjang terhadap Ali sebagai penyanyi tumpang dibuat secara terbuka di radio?

ANJANG: Saya terkejut juga apabila Ali bangkitkan lagi isu ini. Saya sangkakan ia sudah selesai kerana selepas program itu berakhir, kami bersalaman antara sesama sendiri.

Isu ini bermula apabila Terra Rossa diundang sebagai tetamu program radio yang dikendalikan Ali dan seorang lagi penyampai. Semasa temu bual saya dapat lihat Ali seakan-akan tidak senang dengan saya. Tapi apa yang saya cakap itu kenyataan.

Dia pernah bersama XPDC, menubuhkan kumpulan sendiri dan selepas itu bergerak solo. Kenapa masih nak dikaitkan dengan Terra Rossa lagi? Dia memang tak senang, tapi selepas itu saya minta maaf kepadanya kerana terpaksa cakap perkara yang benar.

RAP: Anjang ada terfikir perancangan untuk berdamai?

ANJANG: Saya memang tak nak panjangkan isu ini. Kalau boleh saya nak jumpa dia untuk selesaikan terus hal ini. Cuma, macam saya cakap tadi saya memang terkejut apabila Ali ungkit lagi.

Banyak perkara yang perlu dibincangkan antara kami antaranya lagu Palestin yang dihasilkan sepenuhnya oleh saya. Lagu ini dimuatkan dalam album solo Ali dan dia menghasilkan baju-T menggunakan lirik lagu ini, sedangkan saya tak dapat apa-apa.

Satu perkara yang saya nak cakap, kalau betul Ali sayangkan Terra Rossa, kenapa dia tak masuk semula selepas keluar daripada XPDC. Ini tak, dia tubuhkan pula Mpire, tapi tak berjaya.

RAP: Bagaimana pula kedudukan penyanyi baru Terra Rossa sekarang?

ANJANG: Buat masa ini kesnya belum disebut di mahkamah. Namun kami masih beri peluang kerana nak tengok dia betulkan diri. Kami tak nak isu ini mengganggu tumpuan untuk mempromosi album terbaru Terra Rossa berjudul Bukti Kesangsian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 5:01 AM