Selepas dikenali ketika bersama Terra Rossa, XPDC dan Mpire, Ali kini tampil solo dengan album serba baru.

Tiada lagi 'lagu jiwang' seperti Terra Rossa atau jeritannya dalam lagu XPDC serta Mpire, Ali kini lebih selesa berhijrah kepada lagu kerohanian dan Islamik.

Bak kata Ali dalam 'inlay' album ini, pertemuannya dengan pendakwah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) mencetuskan fenomena dalam diri Ali hingga membawa dia kembali kepada fitrah manusia.

Apa yang pasti, album ini adalah kesinambungan kepada penghijrahan dan pencarian Ali dalam kehidupan abadi.

Album terbitan Anjang Terra Rossa dan Sham Kamikaze ini menampilkan enam lagu ciptaan Anjang dan lirik oleh UAI serta S Amin Shahab.

Selain itu, UAI turut membuat penampilan istimewa dengan memberi tazkirah pada pembukaan album ini.

Dari segi muzik, album ini sekadar biasa saja, begitu juga dengan vokal Ali. Kelebihannya sudah pasti dari segi penghasilan lirik dan konsep albumnya.

Ia adalah sesuatu yang berbeza daripada Ali dan dia berjaya melakukannya dengan baik.

Lagu yang dimuatkan ialah Langkah Terakhir, Hanya Kamu, Doa & Lagu Perjuangan, Kita Hambanya, Kehendaknya dan Palestin.

INFO:

ARTIS: Ali

ALBUM: Maghfirah Mu

TERBITAN/EDARAN : Al-Mughni Production

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 5:01 AM