NASH mendapat kerjasama ramai pihak dalam penghasilan single Sesuci Ramadan.
NASH mendapat kerjasama ramai pihak dalam penghasilan single Sesuci Ramadan.
Ridzuan Abdul Rahman


MENGHASILKAN satu single baharu untuk perhatian pendengar bukan satu kerja mudah, jika tanpa persiapan dan persediaan secukupnya.

Justeru, penyanyi, Datuk Nash mengakui amat teruja apabila berjaya menghasilkan single berjudul Sesuci Ramadan ciptaan Anjang Terra Rossa dan lirik AJ pada kali ini.

"Saya bersyukur kepada Allah kerana dapat menghasilkan lagu sempena Ramadan tahun ini. Idea untuk buat lagu tercetus ketika saya dan Anjang berada di rumah sahabat kami, penyanyi, Sayyid Mohammad Ashiq.

"Ketika itu, kami duduk di beranda dan rancak berbual mengenai lagu Ramadan. Anjang pula seorang yang kreatif, dia boleh dapat idea buat lagu menerusi perbualan atau membaca di akhbar.

"Saya yakin perancangan Allah itu yang sebaiknya. Tiba-tiba sahaja Anjang beritahu lagu dah siap. Namun, saya tak sempat dengar langsung pun," katanya.

Menurut Nash, dia juga diberitahu lirik lagu berkenaan sudah ditulis oleh AJ, tetapi belum bertajuk.

"Selepas perbincangan, saya pilih letakkan tajuk Sesuci Ramadan kerana ia belum pernah digunakan lagi. Sebenarnya, pada hari rakaman di studio Is Wow, baru saya dengar lagu ini dan hayati liriknya.

"Dalam masa dua jam, saya berjaya selesaikan semuanya. Saya sangat bersyukur dipermudahkan Allah. Ini lagu kedua saya sempena Ramadan. Dulu, saya pernah rakam lagu bersama Hijjaz," katanya.

NASH akui kini lebih mengutamakan konsep berdakwah sambil berhibur.
NASH akui kini lebih mengutamakan konsep berdakwah sambil berhibur.

Bercerita lanjut, Nash berkata, dia turut menghubungi rakan baik, Datuk Halim bagi menyatakan hasratnya sebelum rakaman dibuat.

"Dia seorang usahawan berjaya dengan produk minuman We One. Jadi, saya ajak dia buat kerjasama dan dia bersetuju. Lepas rakam lagu, timbul pula perancangan kami nak buat penggambaran muzik video.

"Kebetulan saya pergi ke Pulau Besar, Mersing. Saya tengok pemandangannya cantik dan terus hubungi pemilik resort berkenaan untuk berkongsi hasrat bercadang membuat muzik video di situ.

"Rupa-rupanya pemilik resort, Datin Ros adalah rakan kongsi Datuk Halim. Apabila saya jelaskan hajat saya, dia setuju dan sedia beri kerjasama secukupnya," katanya.

Sesuatu yang menarik terus berlaku apabila Anjang seterusnya memperkenalkan Nash dengan Juril Jumali yang bertindak sebagai pengarah muzik video itu.

"Selepas perbincangan, Juril hadir ke Mersing dan kami membuat penggambaran selama tiga hari. Sejujurnya, saya tiada pengurus peribadi dan semua kerja kena buat sendiri.

"Saya juga hubungi sendiri stesen TV untuk minta slot muncul dalam program mereka. Bagi majlis pelancaran, saya minta bantuan bekas Pegawai Perhubungan Awam (PRO), Ayob Majid yang kini Pengerusi Konsortium Industri Rakaman (Irama) untuk mengendalikannya.

"Asalnya, saya mahu bergerak sendiri. Namun, kemudian saya terfikir nak berbincang dengan Warner Music dan mereka turut bersetuju untuk mengedarkan single ini,"katanya.

Nash gembira apabila sekali lagi urusannya terhadap lagu Sesuci Ramadan sangat dipermudahkan.

"Saya pernah datang ke hotel Royale Chulan untuk makan sebelum Ramadan dan saya sempat berjumpa pengurus hotel. Kami berbincang dan saya nyatakan hasrat untuk buat pelancaran single di sini.

"Sekali lagi, saya bersyukur tidak terkira apabila mereka bersetuju untuk menjalin bekerjasama," katanya yang tak putus-putus memanjatkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 6:14 AM