NABILA. FOTO Rohanis Shukri
NABILA. FOTO Rohanis Shukri
Syanty Octavia Amry

SEDAR tahap kemampuan vokalnya, penyanyi Nabila Razali akui single terbaru berjudul Vroom Vroom dicipta bersesuaian dengan ton suaranya yang rendah.

Walaupun konsepnya berbeza dengan lagu Pematah Hati, Nabila berharap ia akan diterima peminat.

Ini kerana Pematah Hati antara lagu yang mendapat perhatian sehingga berjaya meraih tontonan sebanyak 23 juta kali di YouTube sejak setahun dilancarkan.

Masih mengekalkan komposer yang sama iaitu Hael Husaini dan Ezra Kong, Nabila tidak mahu single barunya itu dibanding-bandingkan dengan lagu terdahulu.

"Tidak dinafikan saya berdebar menantikan maklum balas peminat terhadap single ini. Kalau boleh saya mahu lagu ini mendapat sambutan sama seperti single terdahulu.

"Walaupun muzik dan konsepnya berbeza saya selesa kerana lagu ini memang diciptakan untuk saya.

"Malah, tajuk Vroom Vroom juga bersesuaian dengan pengalaman saya sendiri iaitu kena bergerak ke depan tanpa menoleh ke belakang lagi.

"Tidak kisah dalam masalah cinta mahu pun kehidupan pasti semua orang perlu 'move on'," katanya.

Vroom Vroom dihasilkan selepas lebih setahun Pematah Hati dilancarkan dan bagi Nabila dia enggan gelojoh dalam pemilihan setiap single yang dihasilkan.

Video muzik Vroom Vroom turut menampilkan pelakon yang sedang meningkat naik iaitu Fendy Bakry dan beberapa rakan artis seperti Ara Johari, Hael, Nia Atasha serta Sharifah Rose.

"Saya kena lebih memilih kerana mahu hasilkan karya bermutu yang boleh mengukuhkan nama dalam industri.

"Ini waktu yang sesuai untuk saya muncul dengan single terbaru. Lirik lagu ini mengisahkan wanita perlu meneruskan hidupnya selepas dikecewakan," katanya.

Menurut Nabila, dia selesa menyanyikan lagu rancak dan 'catchy'.

"Buat masa ini saya suka konsep sebegini. Bunyinya tidak terlalu serius dan menghiburkan.

"Untuk lagu yang serius dan layak bertanding di anugerah berprestij, mungkin belum masanya lagi. Bagaimanapun, saya yakin, satu hari nanti peluangnya akan datang juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 8:20 AM