Ridzuan Abdul Rahman

Bermula dengan filem pecah panggung 2016, OlaBola arahan Chiu Keng Guan, kemudian diadaptasi kepada teater muzikal dan dipentaskan kepada peminat di Istana Budaya pada tahun lalu.

Ternyata semangat Harimau Malaya terus membara apabila OlaBola The Musical (OBM) mengaum gagah di IB kerana menerima sambutan hangat penonton.

Ramai yang teruja apabila dibawa menyaksikan kembali perjalanan masa silam skuad bola sepak negara menuju ke Sukan Olimpik 1980.

Penceritaan yang padat dengan pelbagai aksi serta emosi pelakon menjadikan teater yang berlangsung selama sebulan begitu cepat berlalu.

Justeru, atas sambutan hangat diberikan serta memenuhi permintaan penonton, OlaBola yang kini dijenamakan sebagai OlaBola The Musical Returns! kembali semula ke pentas berprestij IB bermula 18 Februari sehingga 3 Mac depan.

Menerusi pementasan gandingan Enfiniti Productions dan Istana Budaya itu, peminat dapat kembali menyaksikan keletah ‘Tauke’ Chow Kwok Keong lakonan Brian Chan, Muthu (Abimanyu Masilamani), Ali (Luqman Hafidz), Ong Tiam Chai (Lim Jian Wen) dan Sarjan Ahmad (Altimet).

Tidak ketinggalan watak serta pelakon baharu turut diperkenalkan iaitu Coach Harry Mountain (Tony Eusoff), Eric Yong (Hafeez Mikail) dan Dumilah (Nabila Huda) yang membuat kemunculan istimewa.

Penerbit dan pengarah OlaBola The Musical Returns! Puan Sri Tiara Jacquelina berkata, idea mementaskan semula OlaBola tercetus selepas melihat maklum balas positif peminat terhadap naskhah itu.

“Pelbagai reaksi mereka tunjukkan antaranya buat hashtag tak boleh ‘move on’ manakala setiap kali bertemu Ketua Pengarah IB, Abang Joe (Datuk Mohamed Juhari Shaarani) dia pasti beritahu, peminat minta pentaskan semula OlaBola.

“Musim pertama kami tambah satu persembahan ekstra atas permintaan peminat. Tapi kami tak boleh lanjutkan lagi kerana IB ada program lain.

“Niat untuk sambung ada tapi tiada ruang. Itu yang terdetik untuk kami pentaskan semula,” katanya.

Menurut Tiara, semangat ini turut dicetuskan isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali sewaktu sesi dialog dan minum petang bersama penggiat seni pada Julai tahun lalu.

TIARA menjanjikan pementasan kali ini lebih hebat dan luar biasa. FOTO Syarafiq Abd Samad
TIARA menjanjikan pementasan kali ini lebih hebat dan luar biasa. FOTO Syarafiq Abd Samad

“Tun Siti Hasmah beritahu dia dengar pelbagai cerita menarik mengenai teater OlaBola tapi tak berpeluang menonton.

“Abang Joe pun ada ketika itu dan dia spontan berjanji dengan Tun Siti untuk pentaskan kembali OlaBola di IB.

“Sejak itu, perancangan dibuat untuk merealisasikan OlaBola The Musical Returns! buat Tun Siti Hasmah dan peminat. Harapnya Tun Mahathir dan isteri dapat meluangkan masa menonton nanti,” katanya.

Menurut Tiara, pihaknya menjanjikan persembahan yang lebih mantap kali ini berbanding musim pertama.

“Kita tak akan pentaskan persembahan yang sama. Sudah tentu ada kelainannya. Boleh dikatakan 95 peratus jalan ceritanya sama, namun ada beberapa perubahan dilakukan.

“Jika ada yang anggap OBM musim pertama itu bagus dan hebat, persembahan musim ini lebih hebat lagi dan luar biasa,” katanya.

Menurut Tiara, kemasukan Nabila serta beberapa muka baharu lain turut menyuntik kesegaran terhadap OlaBola musim ini.

“Nabila melahirkan hasrat untuk berlakon teater ini. Saya ambil dia kerana bakatnya yang memang terbukti hebat.

“Manakala Hafeez Mikail dipilih menerusi sesi uji bakat yang diadakan. Ada yang datang ini penyanyi dan pemain bola sepak.

“Ini kerana ciri-ciri utama pelakon OlaBola mestilah pandai bermain bola. Ia perlu untuk tunjuk pemain Harimau Malaya hebat bermain bola,” katanya.

Tiara berkata, kos yang dikeluarkan untuk pementasan kali ini boleh dijimatkan kerana menggunakan semula prop sebelum ini.

“Bagaimanapun kami tetap perlu membayar kos pentas, pelakon dan pelbagai perkara lagi.

“Tak dinafikan situasi ekonomi sekarang sangat mencabar. Kami tiada penaja utama dan pilih untuk jalankan juga teater ini dengan kerjasama beberapa pihak.

“Kami turut bekerjasama dengan IB dan beberapa pihak lain dan berharap hasil penjualan tiket dapat menampung semula kos yang dikeluarkan,” katanya.

PERSEMBAHAN ringkas teater OlaBola The Musical Returns! ketika sidang media. FOTO Syarafiq Abd Samad
PERSEMBAHAN ringkas teater OlaBola The Musical Returns! ketika sidang media. FOTO Syarafiq Abd Samad

Sementara itu Juhari berkata, OlaBola The Musical Returns! akan lebih menggemparkan dan menghiburkan peminat.

“Kami mengalu-alukan kehadiran teater ini untuk musim kedua di IB. Pada musim lalu, peminat generasi baru dan pemain bola sepak turut hadir menonton.

“Enfiti Productions sentiasa membawa fenomena di Istana Budaya dan diharapkan ia berterusan dalam persembahan ini pula,” katanya.

Tiket untuk menonton bermula pada harga RM80 dan mula dijual menerusi buytickets.asia bermula 18 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 11:00 AM