TIARA Jacquelina. FOTO Arkib NSTP
TIARA Jacquelina. FOTO Arkib NSTP
Ramlah Zainal

Petaling Jaya: Penerbit dan pengasas Enfiniti Productions, Puan Seri Tiara Jacquelina, 55, belum bersedia untuk kembali mementaskan semula pementasan Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang (PGL) yang dibatalkan pada tahun lalu.

Menurut Tiara, sebagai sebuah syarikat pihaknya perlukan evolusi dalam penerbitan karya-karya terbaharu.

"Orang semua dah tahu mengenai PGL, P Ramlee The Musical, Ola Bola dan sebagainya.

"Pihak kami mahukan cabaran baru dan teruskan penceritaan tapi menggunakan platform lain. Contohnya, teater dalam lingkungan berbeza mengenai 'environmental' (alam sekitar) teater selain di Istana Budaya," kata Tiara pada sidang media pelancaran projek terbarunya, Dream Forest di Petaling Jaya, hari ini.

Ditanya adakah dia akan kembali mementaskan PGL The Musical pada tahun depan sempena ulang tahun ke 20 filem berkenaan, kata Tiara dia belum ada perancangan ke arah itu.

"Tapi tak tahulah kan kalau tiba-tiba satu hari nanti saya bangun dari tidur dan rasa nak buat pula?," katanya.

Sementara itu, berkongsi mengenai projek terbarunya Dream Forest di Pulau Langkawi pula, kata Tiara ia membabitkan kos sebanyak RM20 juta.

"Idea untuk buat projek ini berlangsung sejak empat tahun lalu.

"Namun, banyak perancangan yang terpaksa diubah kerana pandemik.

"Justeru, saya cabar 'team' (pasukan) saya untuk buat sesuatu yang baru dan terhasillah Dream Forest, destinasi pelancongan berkonsepkan 'projection mapping' (peta unjuran) sepanjang 1.2 kilometer di Hutan Kampung Buku dekat Pulau Langkawi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 4:41 PM