PELAKON, Nabila Huda. FOTO Syarafiq Abd Samad
PELAKON, Nabila Huda. FOTO Syarafiq Abd Samad
Ridzuan Abdul Rahman

MENGENALI pelakon Nabila Huda Suhaimi secara dekat, dapat dilihat sisi unik yang membezakannya dengan artis lain.

Nabila, 34, punya kedudukan tersendiri dalam dunia lakonan malah sering mencari sesuatu yang berbeza dalam hidupnya.

Membuka tirai 2019, anak kepada penyanyi rock terkenal Amy Search ini sudah menemui apa yang dicari apabila ditawarkan menjayakan teater OlaBola The Musical Returns! terbitan Enfiniti Productions dan Istana Budaya yang akan kembali dipentaskan di IB bermula 18 Februari sehingga 8 Mac depan.

Pelakon yang menggemari aktiviti lasak antaranya mendaki gunung dan gemar mengembara secara solo ini gembira berkongsi pembabitannya dalam teater yang mendapat sambutan hangat ini.

“Tak dinafikan saya teruja dapat beraksi dalam OlaBola kali ini.

“Saya melakonkan watak gadis Indonesia bernama Dumilah yang bekerja di warung dan teman baik Retno.

“Saya akan ada dalam semua babak dan kali ini amat istimewa kerana turut buat ensembel dan terbabit dengan nyanyian serta tarian,” katanya.

Menurut Nabila, ketika membintangi teater MUD the Musical yang juga terbitan Enfiniti Productions pada Disember lalu, dia ada dengar ura-ura OlaBola akan dipentaskan dan menawarkan diri.

“Saya bergurau dengan Puan Sri Tiara mahu berlakon dalam teater ini. Tak kisah sama ada watak tukang sapu atau apa pun, saya pasti akan terima.

“Demi teater apa watak pun tak apa. Malah, walau hanya muncul dalam satu atau dua babak, saya okey saja.

“Saya seronok berlakon teater kerana ia berbeza dengan beraksi di TV. Perasaannya memang lain,” katanya.

Hasrat Nabila bersambut apabila Tiara bersetuju dan memberikannya peluang terbabit sama dalam OlaBola The Musical Returns!.

“Watak Dumilah diwujudkan untuk saya. Namun, saya ada cakap kepada mereka tak perlu susah-susah cipta watak baru. Dari awal saya sudah beritahu tak kisah bawa watak apa pun.

“Kebetulan, dalam MUD the Musical ada watak Murni dan saya kata mungkin boleh buat karakter wanita Indonesia seperti Murni dan mereka setuju. Khusus buat OlaBola watak Murni ditukar kepada Retno.

“Jadi, saya akan berada di warung dan buat ensembel. Memang ini yang saya mahukan. Apabila saya berlakon watak utama dalam teater dan tengok ensembel menyanyi dan menari, timbul perasaan teringin jadi seperti mereka,” katanya.

Nabila membintangi MUD the Musical selama dua minggu dan kini dia perlu fokus sepenuh perhatian terhadap OlaBola pula.

“Pembabitan saya dalam teater itu sebagai tanda sokongan moral kerana ia membariskan pelakon kanak-kanak dari Enfiniti Academy.

“Saya jadi penglipur lara dalam teater itu. Sekarang, saya fokus sepenuhnya terhadap OlaBola dan tak ambil tawaran berlakon lain.

“Saya tak kisah dengan masa yang perlu diambil. Saya suka kerana berada dalam teater ibarat satu keluarga besar,” katanya.

Nabila mengakui ada tawaran drama dan sedang melihat kesesuaian jadualnya.

“Saya sudah beritahu produksi yang persembahan teater ini makan masa selama sebulan dan sekiranya ada satu hari mereka perlukan saya juga, saya boleh berlakon pada sebelah siang.

“Selalu juga saya ditawarkan untuk bawa watak berat dalam teater tapi jadualnya bertembung dengan penggambaran drama episod.

“Saya memang suka habiskan masa di IB berbanding turun ke set drama kerana ia memenatkan. Buat teater memang penat tetapi kepuasannya berbeza,” katanya.

Mengulas lanjut perkara itu, Nabila menjelaskan teater buat dirinya rasa gembira.

“Balik rumah bawa kereta pun rasa seronok. Esoknya tak sabar nak bangun tidur untuk berlakon lagi.

“Apabila kita dapat berinteraksi dengan penonton dan mereka tepuk tangan, memang rasa puas,” katanya.

Nabila yang sebelum ini pernah membintangi teater Bawang Putih Bawang Merah, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan Lela Manja mahu membintangi teater bangsawan pula selepas ini.

Suami gembira

KATA Nabila, suaminya, Mohd Izwan Johar antara yang menyokong apabila dia terbabit dengan teater.

“Saya balik rumah tak rasa tertekan, tak perlu banyak fikir dan hanya cerita yang positif saja.

“Suami saya sokong apabila dapat jadi sebahagian daripada pementasan OlaBola. Dia gembira kerana ketika saya menjayakan MUD the Musical, saya pulang ke rumah dengan perasaan ceria.

“Saya juga suka kerana tenaganya sangat positif. Bagaimanapun, saya tetap berlakon untuk TV dan akan membintangi KL Gangster Underworld 2 selepas ini,” katanya.

Dia turut ditawarkan menjayakan sambungan drama Nur 2 tetapi terpaksa menolak kerana terbabit dengan teater ini.

Tak kejar populariti

TIADA istilah mengejar populariti lagi dalam hidup Nabila kerana dia sudah melaluinya sebelum ini.

“Saya tak fikir perkara itu kerana sudah lama dalam industri seni. Saya kini dalam zon selesa. Bagi peluang kepada orang lain jika mereka nak berlakon drama yang menjadi perhatian ramai.

“Semua orang tahu saya menceburi bidang ini sejak usia muda dan tiada apa lagi nak dikejar. Apa yang saya mahukan adalah hidup yang ceria, bergaul dengan mereka positif dan menjauhi gosip.

“Alhamdulillah, doa saya untuk mahukan yang baru dalam hidup dimakbulkan Ilahi. Kini saya gembira dan bahagia di samping suami serta anak,” katanya.

Bahkan, Nabila lega kerana puteri tunggalnya, Keisha Laila semakin membesar manakala suami tercinta, Izwan pula sangat penyabar.

“Permulaan 2019 amat menggembirakan. Saya banyak habiskan masa di rumah dan jarang menghadiri majlis hiburan.

“Fokus saya sekarang bekerja dan ketepikan seketika aktiviti melancong.

“Selepas ini, saya merancang bawa Keisha dan suami mengelilingi Siberia dengan kereta api,” katanya.

Dalam pada itu, Nabila terbabit dengan kes hangat membabitkan pelanggan yang berkunjung ke kedainya, Waroeng Isabella di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur, beberapa hari lalu.

Dia bagaimanapun sudah memadam gambar dan kenyataan itu malah enggan mengulas lanjut isu berkenaan sebaliknya menegaskan dia kini belajar daripada kesilapan.

“Setiap hari adalah proses pembelajaran. Saya belajar banyak perkara dalam hidup.

“Tiada apa lagi yang saya nak, cuma mahu gembira dan meneruskan kerjaya sebagai pelakon,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 6:00 AM