SEMARAK semangat patriotik.  FOTO Aziah Azmee
SEMARAK semangat patriotik. FOTO Aziah Azmee
Ridzuan Abdul Rahman

SATU persembahan yang sangat menakjubkan.

Itu kata-kata yang sesuai diungkap selepas menyaksikan persembahan musim baru OlaBola The Musical Returns yang kembali dipentaskan di Istana Budaya bermula kelmarin hingga 3 Mac depan.

Penerbit dan pengarahnya, Puan Sri Tiara Jacquelina berjaya melaksanakan tugasan

yang digalas dengan cemerlang.

Lebih penting, idea segar dan luar biasanya ternyata memukau penonton yang teruja mahu menyaksikan jelmaan pasukan Harimau Malaya bagi berjuang untuk melangkah ke Sukan Olimpik Moscow pada 1980.

Barangkali ada penonton musim lalu kembali menontonnya kali ini kerana merindui ‘Tauke’ Chow Kwok Keong lakonan Brian Chan, Muthu (Abimanyu Masilamani), Ali (Luqman Hafidz), Ong Tiam Chai (Lim Jian Wen) dan Sarjan Ahmad (Altimet).

Pada masa sama, mereka turut disajikan dengan penampilan muka baru iaitu Coach Harry Mountain (Tony Eusoff), Eric Yong (Hafeez Mikail) dan Dumilah (Nabila Huda) yang membuat kemunculan istimewa.

DOUGLAS Lim (kanan) turut tampil memeriahkan OlaBola The Musical Returns. FOTO Aziah Azmee
DOUGLAS Lim (kanan) turut tampil memeriahkan OlaBola The Musical Returns. FOTO Aziah Azmee

Bagaimanapun, kepuasannya berbeza kerana garapan kali ini agak kemas merangkumi semua aspek iaitu pergerakan badan, koreografi dan teknik pentas.

Gabungan dengan teknologi canggih iaitu visual skrin besar LED, visual animasi, teknik pencahayaan terkini dan bunyi sekeliling 360 darjah berjaya menonjolkan sesuatu yang berbeza dan layaknya dikatakan seperti menyaksikan pementasan teater dari luar negara.

Jalan cerita OlaBola The Musical Returns masih berada di jalur landasan cerita terdahulu iaitu kisah perjuangan Tauke dan rakannya.

Jalan cerita ini memaparkan impian anak muda ini untuk melangkah ke Sukan Olimpik.

Juga impian seorang anak muda bernama Rahman Ramli (Iedil Putra) yang mahu menjadi pengulas sukan dan dia berjaya menggapai impiannya seiring kejayaan pasukan Harimau Malaya membenam cabaran Korea Selatan dalam pusingan kelayakan Sukan Olimpik.

Iedil dilihat selesa dengan wataknya kerana selain pengulas sukan, dia turut bertindak sebagai pencerita untuk pementasan ini.

Malah, dia dilihat menjadi kesayangan penonton kerana celotehnya yang selamba, tetapi berisi sering dinantikan mereka.

Kisah mereka semua disatukan dalam satu cerita. Persembahannya berbentuk muzikal dengan lagu berunsur rap yang sesuai dengan cita rasa kini.

Ada masanya serius dan ada ketikanya penuh jenaka dan gelak ketawa. Namun agak mengharukan apabila pemain lain memarahi Tauke di bilik persalinan kerana merahsiakan hakikat mereka tidak akan ke Moscow walaupun menang ke atas Korea Selatan.

FOTO Aziah Azmee
FOTO Aziah Azmee

Ketika itu digambarkan di dalam padang penonton menyebut-nyebut nama Malaysia bagi menaikkan dan menyemarakkan semangat pemain.

Tanpa perlu dipaksa, hampir keseluruhan penonton di Istana Budaya mengalirkan air mata sebagai tanda cintakan negara.

Kesimpulannya, OlaBola The Musical adalah sebuah persembahan yang mantap, menghiburkan dan gempak.

Lebih utama, semangat perpaduan kaum, kasih sayang terhadap keluarga dan rakan serta negara berjaya ditonjolkan dengan baik dan cemerlang.

Ditemui selepas persembahan, Tiara berkata, dia mahu meletakkan nama Malaysia ke peringkat dunia menerusi persembahan OlaBola The Musical Returns.

“Saya nak letakkan industri teater muzikal negara di tahap tertinggi, sebagai antara teater terbaik di dunia. Tak pernah sukan bola sepak diangkat dalam bentuk muzikal sebegini di mana-mana tempat di dunia.

“Malaysia adalah negara pertama melakukannya dan saya berjaya melakukannya kerana kerjasama kumpulan hebat ini,” katanya.

Menurutnya, semua jentera bekerjasama daripada pemuzik, koreografer, pencahayaan dan sistem bunyi berjaya melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik.

“Untuk kali ini, saya minta penambahbaikan daripada semua unit dan mereka buat apa yang diminta. Tiada satu pun yang dikecualikan.

“Sama ada ia berkesan atau tidak, saya serahkan kepada penonton. Saya melihat skill permainan bola sepak yang ditampilkan kali ini amat susah nak dilakukan,” katanya.

Menurutnya, semua pelakon berani mengambil risiko melakukan gerakan yang susah dan penuh

skil sebagai pemain bola sepak.

kemunculan Altimet (depan  empat dari kiri) sebagai Sarjan Ahmad mendapat tepukan gemuruh. FOTO Aziah Azmee
kemunculan Altimet (depan empat dari kiri) sebagai Sarjan Ahmad mendapat tepukan gemuruh. FOTO Aziah Azmee

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 9:47 AM