PERSEMBAHAN lebih agresif untuk tarik minat golongan muda.
PERSEMBAHAN lebih agresif untuk tarik minat golongan muda.
Oleh Rudy Imran Shamsudin


SEWAKTU Enfiniti Productions (EP) menerbitkan Pute­ri Gunung Ledang (PGL) dengan bajet hampir mencecah RM18 juta, banyak pihak mempertikaikan mengapa harus membazir sedangkan industri perfileman tempatan kecil dan filem berkenaan tidak mungkin mencatat keuntungan.

Ketika itu tiada seorang pun boleh membaca pemikiran penggiat seni, Puan Seri Tiara Jacquelina Eu Effendi yang cuba me­ngangkat industri filem dan teater muzikal agar terus berkembang pesat dengan menjadikan karya dihasilkan sebagai satu jenama.

Tiara menerusi produksinya Enfiniti Vision Media berjaya menjadi pelopor kepada perkembangan penjenamaan dalam karya seni dan membuktikan keuntu­ngan boleh diraih dalam jangkamasa panjang.

Apa yang perlu dilakukan peng­giat seni adalah berfikir di luar kotak dan itu dilakukan Tiara apabila bukan saja menjadikan PGL sebagai sebuah filem diminati ramai, tetapi turut menghasilkannya dalam bentuk teater muzikal, album runut bunyi dan terbaru konsert.

Sewaktu tayangan semula dilakukan sempena ulang tahun ke-10 penerbitannya baru-baru ini, panggung penuh dan kehangatan sambutan diteruskan dengan Puteri Gunung Ledang Dalam Konsert Rebirth of The Legend yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya 20 Mac lalu dan bakal berakhir 24 Mac ini.

Ditemui baru-baru ini, Tiara menjelaskan idea untuk mempersembahkan PGL dalam bentuk konsert datang apabila ramai peminat bertanya bila ia akan dipentaskan lagi.

“Perancangan itu memang ada namun bukan dalam bentuk pementasan muzikal tetapi konsert, itupun ia mahu dilakukan dalam skala kecil. Mungkin pada majlis makan malam seperti persembahan En Evening With The Phantom,” katanya.

Apabila perkara itu dimaklumkan kepada pengarah teater PGL yang turut melakonkan watak Sultan Mahmud, Adlin Aman Ramli jelas Tiara, Adlin menegaskan konsert dirancang tidak boleh dibuat dalam skala kecil.

“Adlin mahu konsert ini dipersembahkan di tempat kelahiran pementasan Muzikal PGL iaitu Istana Budaya. Kebetulan waktu itu produksi saya sedang mementaskan P Ramlee The Musical di Istana Budaya.

“Apabila keinginan Adlin itu disampaikan kepada Ketua Pe­ngarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani pihaknya menerima idea ini dengan tangan terbuka,” katanya.

Apa yang menarik teater yang turut menampilkan persembahan Stephen Rahman Hughes yang memegang watak Hang Tuah versi teater muzikal dan Datuk AC Mizal sebagai sebagai Raja Majapahit dan Gusti Adipati, turut menampilkan elemen pertunjukan hebat.

Tidak keterlaluan jika ia disamatarafkan dengan persembahan artis antarabangsa seperti Madonna, Lady Gaga, Christina Aguilera mahupun Pink.

“Itulah impian saya dalam menghasilkan konsert ini agar ia mampu menjadi penanda aras kepada persembahan konsert artis tempatan. Kami berikan yang terbaik malah kalau dilihat dari sudut teknikal mahupun corak persembahan ia nyata berbeza.

“Apatah lagi kami menggabung­kan filem dan pementasan PGL dalam satu konsert yang mampu mengimbau kenangan peminat terhadap karya besar ini. Penonton akan dapat merasainya dari corak persembahan yang ditampilkan,” katanya.

Tegas Tiara lagi, props untuk konsert tidak sama dengan pementasan PGL.

Katanya, apa yang cuba diketengahkan adalah sesuatu yang moden dan segar, sesuai dengan situasi. Bahkan muzik juga digubah sepenuhnya pengarah muzik, Roslan Aziz.

Peminat setia PGL akan dihidangkan dengan sedutan istimewa filem mahupun pementasan sebelum ini menerusi layar lebar diot pemancar cahaya (LED). Malah Yusry Abdul Halim turut berkerjasama dengan menghasilkan grafik menarik untuk latar persembahan.

Sambung Tiara, bagi merealisasikan citarasa muzik moden dan segar, pihaknya menggunakan khidmat ramai pemuzik terkenal termasuk Dwan dari kumpulan Seven Collar T Shirt dan No Noice Percussion.

Sebagai pengarah, kata Tiara, imaginasi Adlin terlalu besar dan jika tidak dibendung boleh melangkaui kemampuan.

“Kata Adlin kepada saya, takkan saya mahu ulang persembahan gantung dan terbang seperti dalam persembahan Anugerah Industri Muzik sebelum ini. Untuk Konsert PGL, ia harus lebih besar dan jauh lebih hebat.

“Memenuhi permintaanya bagi memastikan konsert ini benar-benar hidup saya lakukan beberapa aksi akrobatik. Selain ada 12 penari, konsert ini turut diserikan dengan aksi Parkour AOXM Movement,” katanya yang turut memaklumkan corak persembahan kali ini lebih agresif bagi memikat hati peminat baru dan generasi muda.

Selain persembahan lima malam, Puteri Gunung Ledang Dalam Konsert Rebirth of The Legend turut mengadakan persembahan matinee bermula semalam dan petang ini. Ia sesuatu yang asing dalam pelaksanaan konsert dan boleh mengganggu tumpuan penyanyi terhadap persembahan pada sebelah malam memandangkan konsert ini menuntut penggunaan tenaga maksimum kerana ada banyak elemen aksi serta aktrobatik.

Tiara bagaimanapun menjelaskan semua barisan pelakon berbesar hati melakukannya bahkan bersungguh-sungguh memastikan konsert ini berjaya.

“Bayangkan hampir enam tahun kami tidak bertemu dan menerusi konsert ini dapat berkumpul semula dengan Stephen, Adlin dan AC Mizal. Malah, AC Mizal sendiri pernah menyatakan kepada saya bahawa PGL berjaya mengembalikan namanya dalam industri seni tempatan dan disebabkan itu dia sangat berbesar hati menjayakan per­sembahan ini.

“Seperkara lagi, untuk pementasan berskala besar ini seharusnya ia diadakan selama 14 hari untuk mendapatkan keuntungan. Namun disebabkan jadual Istana Budaya penuh jadi kami cuma ada lima malam.

“Bagi memastikan apa yang dilaksanakan ini mampu pulang modal, kami sepakat mengadakan persembahan matinee selama dua hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2015 @ 12:35 PM