Nabila enggan komen rungutan pelanggan berkunjung ke restorannya. FOTO NSTP
Nabila enggan komen rungutan pelanggan berkunjung ke restorannya. FOTO NSTP
Ridzuan Abdul Rahman


"SAYA minta maaf, saya tak boleh nak bercakap mengenai benda ini.

"Maksudnya untuk ini, saya hanya bercakap pasal Ola Bola sahaja," kata pelakon Nabila Huda ketika ditemui di Istana Budaya, hari ini.

Nabila, 34, memberi reaksi itu ketika diminta mengulas isu hangat di Twitter berhubung komen pelanggan berkunjung ke kedainya di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur, beberapa hari lalu.

Pelanggan terbabit menceritakan pengalamannya terpaksa menunggu lebih dua jam untuk mendapatkan hidangan ikan gurami yang dipesan.

Selain itu, pelanggan itu turut kecewa apabila mendapati lauk dihidangkan tidak seperti diiklankan.

Menurut Nabila, dia menghormati majlis dihadirinya iaitu Sidang Media Teater OlaBola The Musical Returns! dan tidak akan bercakap mengenai perkara lain.

"Mungkin nanti kita akan berjumpa lagi. Mungkin juga pihak media boleh menghubungi saya.

"Tak mengapa, biarlah cerita yang ini (OlaBola The Musical Returns!) keluar dulu.

"Dah keluar barulah kita cakap mengenai benda itu ya.

"Saya kena fokus pada OlaBola. Tak baiklah kerana kehadiran saya untuk teater ini," katanya.

Menerusi OlaBola musim ini, Nabila akan menjayakan watak wanita Indonesia bernama Dumilah.

Teater arahan Puan Seri Tiara Jacquelina terbitan Enfiniti Productions dan IB itu akan mula menemui penonton di Istana Budaya bermula 18 Februari sehingga 8 Mac 2019.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro mendapai Nabila sudah memadamkan gambar dan kenyataan balasnya terhadap pelanggan itu.

Difahamkan tindakan ini dibuat selepas dia berdepan kecaman hebat netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 4:23 PM