CALIPH Buskers.
CALIPH Buskers.
Nor Akmar Samudin


Tuah, rezeki dan populariti yang datang tanpa disangka pemuzik jalanan cacat penglihatan, Caliph Buskers selepas mereka menyertai Anugerah Juara Lagu ke-29 tahun lalu turut memberi ruang kepada kumpulan busker lain mengembangkan bakat mereka.

Sejak kejayaan diraih Caliph Buskers, kewujudan pemuzik jalanan bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Masing-masing menggunakan kesempatan untuk menonjolkan bakat ‘seniman’ mereka.

Pergilah ke mana saja, di pusat beli-belah, depan restoran dan gerai, di celah lorong dan jalan, ada saja busker yang cuba mencuri tumpuan orang yang lalu-lalang di situ.

Penyanyi utama Caliph Buskers, Khairul Azmi Mohd Saat, 29, menyifatkan kewujudan banyak pemuzik jalanan itu sangat bagus, namun mungkin juga kehadiran mereka bermusim.

“Ada yang memang serius menjadi pemuzik jalanan, tetapi tidak kurang hanya seperti melepaskan batok di tangga dan menyanyi ala kadar selain mengharapkan sumbangan wang daripada orang ramai.

“Jagalah imej busker dan kualiti nyanyian agar orang ramai tidak memandang lekeh. Oleh kerana masyarakat semakin ‘membuka mata’ terhadap pemuzik jalanan, janganlah buat persembahan ala kadar.

“Orang ramai boleh tahu keikhlasan hati kita. Ada yang baru menyanyi dua tiga lagu sudah ‘menadah topi’ untuk meminta bayaran. Jika kita main bagus, orang akan bayar tanpa perlu meminta-minta.

“Ketika membuat persembahan, kita sendiri mesti ‘enjoy’ barulah nyanyian itu ‘sampai’ di hati pendengar. Siapa pun kita, sama ada penyanyi terkenal atau pemuzik jalan, masyarakat bijak menilai. Siapa yang bagus, ikhlas dan bersungguh-sungguh pasti usahanya akan dihargai,” katanya.

Tiada istilah sambil lewa

Kata Azmi lagi, kumpulannya dulu menyanyi saja dan terpulang kepada orang ramai mahu memberi wang atau pun tidak.

Pada mereka, bermain muzik adalah pekerjaan tetap mereka untuk menyara keluarga maka tidak wujud istilah bekerja sambil lewa.

“Biarpun itu saja kerja yang kami boleh buat, kami tidak pernah meminta-minta. Berapa sen orang nak bagi terpulang. Kami terima seadanya dan berapa yang dapat kami kongsi berlima.

“Pernah satu ketika saya dan seorang lagi anggota datang menyanyi dengan harapan selepas dibahagi kutipan yang dapat, masing-masing akan dapat banyak, tetapi sangkaan kami meleset.

“Misalnya jika kami datang berlima boleh dapat RM100 dan apabila menyanyi berdua, kami berharap boleh dapat jumlah sama. Apabila dibahagi dua dapatlah RM50 seorang. Jika berlima, semua dapat seorang sedikit.

“Tetapi Allah SWT tidak ‘mengizinkannya’ apabila kutipan yang dapat lebih rendah. Orang ramai mahu lihat kami bermain muzik berlima.

“Dalam apa jua kerja yang dilakukan memerlukan keikhlasan. Kejujuran itu pula seolah-olah dapat ‘dibaca’ oleh mereka yang mendengar nyanyian kami dan seikhlas hati juga mereka memberi ‘sumbangan’ menghargai persembahan kami,” katanya.

Jauh di lubuk hati lima sekawan itu, kejayaan dan kesenangan yang datang tanpa diduga itu tidak membuatkan mereka lupa diri malah amat mensyukurinya.

“Alhamdulillah, kehidupan kami banyak berubah terutama daripada segi kewangan yang semakin stabil. Kami juga berbangga kerana dapat menaik taraf kedudukan pemuzik jalan di mata masyarakat dan penggiat seni dalam industri muzik,” katanya.

Tampil single kedua

Terkini, Caliph Buskers hadir dengan single kedua berjudul Kaulah Dia ciptaan dan terbitan Edry Abdul Halim.

Membawa genre pop kontemporari, Kaulah Dia menampilkan muzik yang lebih matang dengan iringan koir dan orkestra seterusnya membawa dimensi baru dalam muzik Caliph Buskers.

Kaulah Dia menceritakan kisah cinta agung, sesuai untuk dipersembahkan dalam pelbagai majlis terutama pada majlis perkahwinan.

Susunan muzik Kaulah Dia juga menunjukkan kemampuan vokal Azmi yang semakin meningkat dan setara dengan penyanyi hebat yang lain.

Lagu ini juga diharapkan menjadi satu lagi tiket Caliph Buskers untuk ke pentas AJL.

Pun begitu ada kebimbangan di hati anggota kumpulan itu kerana single pertama mereka berjudul Hanya Namamu lebih berunsur ketuhanan.

“Hanya Namamu pernah diangkat antara 20 lagu terbaik di pusat karaoke dan menjadi pilihan ramai.

“Oleh itu kami berharap, Kaulah Dia turut mendapat sambutan baik daripada peminat dan mengulangi kejayaan Hanya Namamu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 4:59 AM