Syanty Octavia Amry


SELEPAS lapan tahun berkenalan, pelakon Nadzmi Adhwa selamat bernikah dengan pasangannya yang juga pelakon, Ardell Aryana pada jam 5.31 petang hari ini di kediaman Ardell di Seri Kembangan, Selangor.

Pasangan itu dinikahkan Penolong Pendaftar Perkahwinan Masjid al-Muttaqin, Ustaz Mohd Hafiza Hafiz Baharuddin dengan sekali lafaz.

Mula rapat selepas bertemu dalam drama bersiri Namaku Bedah pada 2015, Nadzmi menyerahkan dua dulang hantaran dan senaskhah al-Quran dibalas dua oleh Ardell.

Cantik dalam persalinan berona putih, Ardell atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin menerima mas kahwin RM300.

Majlis turut dihadiri kira-kira 500 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, sanak-saudara dan teman rapat pasangan pengantin.

"Alhamdulillah saya bersyukur segala yang dirancang berjalan lancar walaupun persiapan dilakukan hanya dalam tempoh dua bulan saja.

"Selama ini ramai yang mendoakan jodoh kami dan doa mereka dimakbulkan. Saya juga tidak menyangka jodoh kami kuat sehingga masing-masing bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan,” kata Ardell.

Ardell juga dilihat menangis terharu saat mendengar ucapan daripada ibu tercinta, Sambian Din pada majlis pernikahannya.

Pasangan berkenaan tidak mengadakan majlis pertunangan, tetapi hanya majlis khatam al-Quran yang dianjurkan oleh keluarga Nadzmi pada Jumaat lalu.

Sementara itu, Nadzmi menyifatkan Ardell adalah anugerah dan insan yang sangat istimewa pada dirinya.

“Pada saya, dia insan terbaik pernah saya kenal dan dia adalah wanita yang kuat serta sangat luar biasa," katanya.

Dalam pada itu, pasangan berkenaan belum merancang destinasi bulan madu dan majlis resepsi juga belum ditetapkan tarikh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 6:07 PM
NADZMI selamat diijabkabul dengan Ardell dengan sekali lafaz. FOTO Aziah Azmee
NADZMI selamat diijabkabul dengan Ardell dengan sekali lafaz. FOTO Aziah Azmee