SYAFINAZ dan Aizat (tengah) bersama protege mereka yang akan bertanding pada Konsert Mentor 7 di Plaza Alam Sentral. FOTO/NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN.
SYAFINAZ dan Aizat (tengah) bersama protege mereka yang akan bertanding pada Konsert Mentor 7 di Plaza Alam Sentral. FOTO/NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN.
Syafil Syazwan Jefri


KONSERT minggu pertama program realiti Mentor 7 menyaksikan empat protege daripada dua mentor iaitu Datuk Syafinaz Selamat dan Aizat Amdan berjaya mara ke pusingan seterusnya.

Dua protege Syafinaz adalah Ranisha atau nama sebenarnya Farranisha Shazwany Mohd Faizul, dan Lazarul atau nama sebenarnya Lazarul Afiezy Zakaria.

Menurut Syafinaz, kedua-dua protege itu dipilih berdasarkan kriteria yang ditetapkannya sejak awal program berkenaan berlangsung.

“Saya meletakkan kriteria untuk setiap protege memiliki identiti sendiri, di samping berani mengambil risiko ketika membuat persembahan. Kedua-dua mereka iaitu Ranisha dan Lazarul memiliki apa yang saya mahukan,” katanya kepada Harian Metro.

Protege Aizat Amdan yang berjaya mara ke pusingan seterusnya adalah Pasha atau nama sebenarnya Faizul Ashraf Fauzi dan Megat atau nama sebenarnya Mohd Adzuan Mazlan.

Aizat berkata, dia sukar membuat pilihan kerana ketiga-tiga protegenya yang bertanding mempunyai kekuatan masing-masing.

“Ketiga-tiga protege saya punya kekuatan masing-masing dan kami pun sudah ada keserasian yang kuat. Jadi, sukar untuk saya membuat keputusan untuk menyingkirkan salah seorang daripada mereka,” katanya.

Syafinaz menyingkirkan protegenya, Aznona atau nama sebenarnya Rasmawatie Mohd Thamrin manakala Aizat pula menyingkirkan Faris Malek atau nama sebenarnya Mohd Faris Arif Malek.

Pemilihan empat daripada enam protege yang membuat persembahan itu adalah berdasarkan 100 peratus pilihan mentor.

Pada konsert minggu hadapan, enam lagi protege yang terdiri daripada tiga protege kepada mentor, Hafiz Suip dan tiga protege kepada Siti Nordiana bakal membuat persembahan.

Mentor 7 juga menyaksikan konsep baru di mana mentor boleh memilih untuk mengekalkan protege yang sudah dipilih atau ‘mencuri’ protege kepada mentor lain yang sudah disingkirkan.

Mentor 7 yang disiarkan secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam diterajui oleh gandingan pengacara Shuk Sahar dan Nana Mahazan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 6:10 AM