Syafinaz sedia curah ilmu demi untuk cari bakat baru. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Syafinaz sedia curah ilmu demi untuk cari bakat baru. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Najiy Jefri


PENSYARAH dan guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat menegaskan penyertaannya dalam program realiti, Mentor musim ketujuh bukan mengenai dirinya sebaliknya melahirkan bakat baru dalam dunia nyanyian.

Syafinaz mengakui timbul rasa takut apabila umum meletakkan jangkaan tinggi terhadap dirinya.

Namun, beliau akan berusaha membimbing mereka dengan disiplin untuk menjadi penyanyi disegani.

"Rancangan itu bukan mengenai diri saya tapi pembabitan setiap mentor adalah untuk membantu mereka yang ingin berjaya dalam bidang seni suara.

"Dulu saya terpaksa tolak kerana terikat dengan komitmen kerja tetapi apabila difikirkan, ia memang tidak akan pernah habis.

"Cuma saya takut tiada calon berani datang uji bakat. Sebenarnya, saya tidak garang tapi mereka perlu 'digasak' bagi memastikan mereka berjaya," katanya.

Menurut Syafinaz, meskipun mempunyai pengalaman luas bidang muzik namun dirinya bukan seorang ahli silap mata.

"Saya tahu ramai meletakkan jangkaan tinggi terhadap saya kerana kedudukan sebagai guru vokal dan pensyarah. Bagaimanapun, saya tiada kuasa mencipta bakat hebat.

"Saya dan protege perlu saling membantu dan bekerja kuat. Saya yakin masa yang terhad dalam program itu mampu membawa mereka ke satu tahap yang tinggi sekiranya sedia belajar benda baru untuk semakin bagus," katanya.

Mentor 7 kembali bersiaran selepas kali terakhir menemui penonton pada 2012.

Selain Syafinaz, mentor 7 turut diketuai oleh Hafiz Suip, Aizat Amdan dan Siti Nordiana.

Sesi uji bakat akan bermula di Hotel Promenade, Kota Kinabalu, Sabah pada 8 dan 19 Ogos ini, disusuli Sri Pentas pada 8 dan 9 September depan membabitkan pencarian protege Syafinaz, diikuti Aizat (15 dan 16 September), Hafiz (22 dan 23 September) dan Siti Nordiana (29 dan 30 September).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 7:01 PM