JAMAL (kiri) dan Wany. FOTO arkib NSTP
JAMAL (kiri) dan Wany. FOTO arkib NSTP
Ramlah Zainal


“SAYA berasa sedih, kecewa dan terkilan kerana tidak dapat bekerjasama dengan Datuk Jamal Abdillah yang juga idola dalam bidang seni tanah air sejak dulu.

“Sudah lama saya impi untuk berduet dengan penghibur lagenda sepertinya tetapi nampaknya belum ada rezeki lagi,” kata penyanyi popular Wany Hasrita ketika mengulas kenyataan Jamal mahu bekerjasama dengannya sempena Konsert Duo Lagenda bersama Datuk M Nasir yang akan berlangsung di Istana Budaya pada Disember depan.

Namun, Jamal terpaksa menggantikan Wany dengan penyanyi dari Australia yang mencipta nama di sini, Cassidy Anderson kerana penyanyi lagu Menahan Rindu itu tidak dapat memberikan komitmen pada tarikh konsert seperti dijadualkan.

Menurut pemilik nama sebenar, Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 26, dia tidak dapat menerima lamaran Jamal kerana sudah terbabit dengan komitmen lain pada tarikh 21 hingga 23 Disember depan iaitu pada tarikh sama dengan Konsert Duo Lagenda yang bakal berlangsung nanti.

“Saya akui agenda seni agak padat ketika ini. Pada masa sama, segala keputusan mengenai aktiviti seni diputuskan bawah

pengurusan iaitu syarikat rakaman FMC music,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, kata Wany, dia menanti peluang untuk bekerjasama dengan Jamal pada masa akan datang.

“Sudah pasti saya tidak akan menolak jika beliau sudi untuk berduet dengan saya dalam konsert selepas ini sekali gus penghormatan dalam karier nyanyian.

“InsyaAllah, saya juga menjanjikan komitmen yang terbaik pada konsert atau persembahan terbabit nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 6:16 PM