NERA
NERA
Georgie Joseph 

 

PADA 2011, penyanyi ini berjaya memahat nama dalam industri muzik arus perdana selepas lagu nyanyiannya berjudul Hatiku Milikmu meledak.

Ketika itu, Queennera Francine Francis, 26, atau Nera baru saja tamat program Akademi Fantasia 9 (AF9).

Bagaimanapun, penyanyi dari Sabah ini kemudian menyepi dan ramai peminat tercari-cari ke mana perginya Nera walaupun dia dikatakan antara penyanyi yang berpotensi besar.

Nera ketika dihubungi berkata, dia masih aktif dengan kerjaya seni yang kini lebih tertumpu di negeri kelahirannya.

Malah, dia tidak putus-putus mendapat jemputan menjayakan pelbagai acara termasuk di luar bidang seni.

“Tidak dinafikan, memang ramai yang mencari saya dan bertanya apa jadi kepada kerjaya nyanyian. Sebenarnya saya masih menyanyi dan kerap menjayakan tawaran persembahan di Sabah.

“Namun, sekarang ini tumpuan saya adalah kepada kerjaya sepenuh masa sebagai penyampai radio. Saya juga menjalankan perniagaan kecil-kecilan di Sabah selain aktif dalam aktiviti kebajikan.

“Disebabkan itu, saya kena berpangkalan di negeri sendiri apalagi tidak memang tangan dengan pelbagai agenda di Sabah,” katanya.

Menurut Nera, antara faktor utama dia memilih untuk aktif di Sabah adalah supaya dia lebih dekat dengan keluarganya. Dia mengakui keluarga juga menjadi kepentingan buatnya sekarang.

“Ramai tidak tahu, saya sebenarnya ibu tunggal kepada seorang cahaya mata. Selain bekerja, tumpuan utama saya adalah untuk memberikan kasih sayang dan perhatian sepenuhnya kepada anak saya,” katanya.

Nera mengakui dia tidak pernah melupakan bidang seni dan takkan berhenti mencapai impiannya bergelar anak seni berjaya.

Selain nyanyian, dia juga kini terbuka hati untuk menceburi bidang lakonan selepas mendapat inspirasi daripada beberapa pelakon dan filem.

“Sejujurnya, saya rasa kosong jika tidak mencuba bidang yang dicintai ini. Impian saya semestinya mahu tampil dengan album sendiri suatu hari nanti namun sekarang masih dalam proses mencari hala tuju yang tepat.

“Saya turut menyahut cabaran beberapa individu yang mencadangkan agar mula menulis lagu sendiri. Kini saya dalam proses untuk berjinak-jinak dalam penulisan lagu dan moga suatu hari nanti dapat merealisasikan album

penuh itu.

“Bagaimanapun, semangat saya untuk menceburi lakonan pula tiba-tiba berkobar beberapa hari lalu. Saya mendapat inspirasi daripada pelakon serta filem Tangisan Akinabalu yang ditayangkan baru-baru ini,” katanya.

Nera berkata, dia kini lebih selesa dan seronok menjalani kehidupan di Sabah. Dia mengakui ada tawaran untuknya dari Kuala Lumpur namun terpaksa menolak atas

faktor tertentu.

“Memang banyak juga tawaran yang saya dapat untuk kembali ke Kuala Lumpur. Tidak lama dulu, saya cuba untuk memenuhi beberapa tawaran namun akhirnya terpaksa menolak.

“Bukan apa, tawaran berkenaan lebih bersifat kepada mengambil kesempatan untuk mempergunakan saya. Syukurlah saya tolak namun jadikan hal itu sebagai pengajaran untuk saya lebih berhati-hati,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 8:30 AM