MAHU jadikan nyanyian kerjaya sepenuh masa.
MAHU jadikan nyanyian kerjaya sepenuh masa.
Oleh Michelle Gun


Biarpun sibuk menguruskan kerjaya sebagai pengurus pemasaran dan pensyarah sambilan, penyanyi baru Zaidi Anwari bijak membahagikan masa.

Bagi bakat kelahiran Bintulu, Sarawak itu, impian mencipta nama dalam industri muzik tanah air tidak mustahil asalkan ada kesungguhan.

Berkongsi kisah permulaan kerjaya ketiganya itu, Zaidi berkata, dia mula aktif menyanyi ketika melanjutkan pengajian di universiti.

“Minat menyanyi sejak kecil dan saya pernah menyertai Bintang Kecil RTM pada 1991.

“Namun, saya hanya aktif selepas memasuki universiti dan ketika masih menuntut, saya banyak mengadakan persembahan bersama rakan sehingga sering menerima jemputan ke majlis korporat di Indonesia,” katanya.

Menurut penyanyi berusia 33 tahun itu, hasrat melakar kerjaya dalam bidang nyanyian tercapai apabila komposer terkenal Indonesia, Bemby Noor tertarik dengan bakatnya.

“Selalunya selepas persembahan, saya akan berkongsi rakaman nyanyian dengan pengikut di Facebook. Tak sangka rakaman itu mencuri perhatian Bemby, lalu dia menghubungi saya untuk menawarkan bantuan menghasilkan lagu,” katanya.

Zaidi berkata, pada mulanya, dia meragui kata-kata komposer itu, namun akhirnya menerima tawaran terbabit selepas membuat kajian.

“Demi mencapai impian, saya sanggup mengeluarkan simpanan RM16,000 untuk membiayai kos rakaman dua lagu di Jakarta, Indonesia,” katanya.

Hasilnya, Zaidi muncul dengan single pertama, Cinta Tak Berakhir pada 2012, diikuti Jangan Pergi.

“Setahun kemudian, Helen Yap menghasilkan single ketiga berjudul Awan Awani lirik ciptaan Budi Hikayat,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai kerjayanya, Zaidi bekerja sebagai pengurus pemasaran di sebuah hotel terkemuka di Bintulu serta pensyarah sambilan.

“Saya tiada masalah membahagikan masa antara ketiga-tiga kerjaya ini. Seandainya rezeki lebih kepada nyanyian, saya bercadang menjadikan bidang itu sebagai kerjaya sepenuh masa,” katanya.

Mahu sertai AJL

Kini bernaung di bawah syarikat Cloudworks Entertainment, Zaidi sudah tidak perlu risau memikirkan soal promosi dan pasaran lagu.

“Memang sukar untuk pergi jauh kalau artis bergerak sendirian dan saya sudah melaluinya sebelum ini.

“Justeru, saya perlukan pihak untuk membantu mempromosikan lagu dalam pasaram industri seni tanah air,” katanya.

Walaupun masih baru, Zaidi berhasrat untuk pergi lebih jauh termasuk tercalon dalam Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Ini misi saya bagi tahun ini dan mahu mencipta identiti sendiri supaya orang akan sentiasa mengingati saya.

“Meskipun rezeki ditentukan Allah, saya akan terus berusaha melaksanakan impian dan merancang untuk menghasilkan album,” katanya.

Menjadikan penyanyi popular tanah air, Dayang Nurfaizah sebagai idolanya, Zaidi turur berbakat mendendangkam lagu asli dan dangdut.

“Saya lebih kepada R&B dan pop namun boleh nyanyi lagu genre lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:04 AM