ELBA sebagai Heimdall dalam Thor: Ragnarok.
ELBA sebagai Heimdall dalam Thor: Ragnarok.
Michelle Gun

Mengejutkan apabila pelakon filem Thor, Idris Elba langsung tidak mengetahui akronim MCU iaitu singkatan Marvel Cinematic Universe.

Akronim itu sering diguna peminat dan pihak media ketika bercerita mengenai filem terbitan Marvel Studios.

Menurut portal Comicbook, singkatan terbabit jarang sekali digunakan untuk siri filem Thor.

Dalam satu temu bual baru-baru ini, Elba bertanya maksud MCU dan memberitahu belum pernah mendengar perkataan itu sebelum ini.

“Saya ingat maksudnya adalah Manchester United,” katanya.

Bintang itu sudah beraksi dalam lima filem Marvel iaitu Avengers: Age of Ultron, Avengers: Infinity War dan tiga siri Thor.

Dalam perkembangan lain, pelakon British berusia 45 tahun itu mengarah filem sulungnya, Yardie adaptasi novel tulisan Victor Headley.

Filem itu mengisahkan seorang pemuda Jamaica yang dihantar ke London bagi urusan jual beli dadah.

Berkongsi pengalaman itu, Elba mengakui terlampau gementar ketika duduk di kerusi pengarah.

“Yardie adalah projek kecil dan bukan bertujuan meraih keuntungan besar.

“Sudah tentu ia satu perniagaan dan saya mahu rasa bangga dengan filem ini,” katanya.

Menampilkan pelakon Aml Ameen, Shantol dan Stephen Graham, Yardie sudahpun ditayangkan di pawagam United Kingdom sejak 31 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 3:15 AM