SANDRINA
SANDRINA
Ardini Sophia Sina

Dunia maya kini heboh dengan lagu Goyang Dua Jari nyanyian Sandrina Mazaya Azzahra yang sering diputarkan di aplikasi Tik Tok yang menjadi kegilaan remaja.

Gadis berusia 16 tahun itu asalnya menyertai pertandingan Indonesia Mencari Bakat musim ketiga pada 2013.

Mempamerkan bakat menari yang mengagumkan, Sandrina diumumkan sebagai juara.

Tidak hanya aktif dalam bidang tarian, Sandrina turut membuktikan kebolehannya tidak hanya terbatas dalam satu cabang seni tetapi juga punya suara merdu untuk bergelar penyanyi.

Menurut Sandrina, dia bersyukur dengan adanya Tik Tok, lagu nyanyiannya itu mendapat perhatian meluas tidak hanya di Indonesia tetapi juga Malaysia. Single itu juga menjadi tular dalam masa singkat.

“Saya sangat bersyukur kerana dengan adanya Tik Tok, lagu yang dimasukkan dalam aplikasi itu terus tular dan meletup dalam masa singkat. Ia membantu mempromosikan Goyang Dua Jari dengan lebih meluas.

“Bagi saya, Tik Tok bukanlah satu aplikasi yang buruk. Saya sendiri adalah pengguna aplikasi itu. Jika bosan, saya akan buka Tik Tok dan pilih lagu untuk saya ‘lipsync’ dan buat gerakan yang sesuai dengan lagu,” katanya.

Selasa lalu, Kementerian Komunikasi dan Informatika Indonesia mulai menyekat aplikasi berkenaan kerana dianggap membawa isu negatif kepada pengguna.

Ditanya mengenai isu itu, Sadrina berkata, kesalahan itu tidak terletak pada aplikasi tetapi orang yang menggunakannya untuk tujuan negatif. Dia berharap supaya Tik Tok dapat digunakan semula.

“Dilihat dari sudut positif, Tik Tok sebenarnya satu platform yang baik untuk mempromosikan lagu serta berkongsi video tarian berdasarkan lagu yang dipilih.

“Mungkin ada beberapa individu yang menggunakannya secara negatif. Yang salah itu adalah individu berkenaan. Sedangkan masih ramai yang menggunakannya dengan tujuan baik. Saya berharap Tik Tok dapat digunakan semula,” katanya.

Punya wajah cantik, tentu saja anak kelahiran Bogor ini menjadi dambaan lelaki.

Ditanyakan mengenai kekasih hati, penyanyi itu menegaskan dia gembira dengan kehidupan solonya.

Kata Sandrina, dia ingin memberikan tumpuan pada kerjaya dan pelajarannya. Pun begitu, dia tetap berkongsi jejaka idaman yang diimpikan untuk bergelar buah hatinya.

“Buat masa ini, saya tidak punya kekasih hati. Saya mahu fokus pada kerjaya dan pelajaran. Saya gembira dengan kehidupan solo dan saya lebih banyak habiskan masa bersama kawan serta keluarga.

“Bagaimanapun, saya ada kriteria lelaki yang saya suka. Saya impikan kekasih hati yang setia, menyokong kerjaya dan tidak mengambil kesempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 12:50 PM