REZEKI Awal terpilih sebagai duta sulung jenama restoran makanan terkenal.
REZEKI Awal terpilih sebagai duta sulung jenama restoran makanan terkenal.
Sudirman Mohd Tahir

Selepas dilantik sebagai duta automobil Westsrar Maxus G10, pengacara popular Awal Ashaari bertuah apabila dipilih mewakili jenama restoran terkenal, Secret Recipe.

Istimewanya, Awal atau Ahmad Awaluddin Ashaari, 37, mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi artis pertama dilantik sebagai duta jenama itu.

“Sebelum ini Afdlin Shauki pernah dipilih bagi menjayakan kempen promosi makanan yang dijual di restoran ini tetapi bukan sebagai duta.

“Ini julung kali Secret Recipe melantik duta bagi produk mereka dan saya rasa amat bertuah kerana menjadi selebriti pertama.

“Pada mulanya saya terkejut dan musykil juga dengan tawaran ini kerana jenama mereka sudah terkenal. Saya fikir tidak perlu gunakan duta lagi. Namun, pihak mereka tertarik dengan cara saya menghargai makanan berkonsepkan pastri atau manisan menerusi muat naik di laman sosial,” katanya.

Awal yang juga bekas pengacara Melodi berkongsi dia penggemar kek. Malah, Awal berkata itu makanan pertama yang dicari jika keluar bersiar-siar atau bercuti.

Pada masa sama, Awal menepis dakwaan kononnya dia mengenakan bayaran rendah hingga dilantik sebagai duta beberapa jenama.

“Alhamdulillah, saya menganggap semua tawaran sebagai rezeki. Saya sendiri tidak pernah menjangka peluang datang secara serentak.

“Kalau ada tanggapan saya dan keluarga mengenakan bayaran murah di sebalik tawaran yang dihulurkan, ia tidak benar.

“Saya dan isteri sangat menitikberatkan soal kualiti dengan memilih produk yang ingin diwakili. Ia juga bertujuan untuk menjaga jenama dan kredibiliti yang dibina selama ini,” katanya.

Awal turut berkongsi dia dan isterinya, pelakon Scha Alyahya tidak pernah berkira dalam memberikan sokongan antara satu sama lain.

“Sebagai contoh, apabila saya dipilih sebagai duta Secret Recipe, isteri dan anak kami, Lara turut hadir memberikan sokongan biarpun hanya saya dilantik.

“Begitu juga dengan beberapa produk lain yang diwakili mereka berdua. Saya akan mengosongkan jadual untuk hadir dan memberikan sokongan,” katanya.

Ditanya mengenai baki bayaran tertunggak oleh ejen yang menguruskan bayaran ketika dilantik sebagai duta sebuah jenama, Awal bersyukur perkara itu selesai sehari selepas dilaporkan pihak media.

“Saya berterima kasih kepada pihak media yang melaporkan rintihan saya dan akhirnya didengari individu berkenaan sebaik isu ini dilaporkan media.

“Malah, dia tidak mengambil masa yang lama untuk melunaskan semua baki bayaran. Saya menganggap perkara ini sudah selesai. Jadi, saya tidak mahu lagi bercakap mengenai perkara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 8:13 AM