HM Digital

Siapa tidak kenal pelakon hebat Noorkhiriah. Selepas membuat kemunculan semula dalam drama bersiri Nur yang kini hangat diperkatakan, namanya memuncak kembali.

Cik Pang sendiri pun terkejut dengan sambutan hebat lebih-lebih lagi ketika Noorkhiriah muncul dalam adegan di mana ‘sup bunjut’ menjadi tular.

Dalam babak itu, Noorkhiriah yang melakonkan watak sebagai Aishah ‘mengamuk’ di meja makan ketika keluarganya mahu makan malam.

Aishah marah-marah dan ingin membuktikan adik iparnya, Nur lakonan Amyra Rosli menyihir keluarga mereka dengan memasukkan sesuatu ke dalam sup.

Walaupun babak itu mendebarkan, ia diakhiri dengan situasi lucu menerusi lakonan bersahaja Noorkhiriah.

Cik Pang ada ternampak perbualan Noorkhiriah dengan peminatnya bercerita mengenai babak lucu itu.

Katanya, dia sendiri pun tak menyangka bahawa sup itu panas dan kerana itulah ia nampak ‘natural.

Ketika dia mengucap­kan dialognya, secara tiba-tiba kedengaran bunyi cicak dan dia terus memasukkan kata-kata, “Cicak pun setuju!” ke dalam dialognya dengan bersahaja.

Cik Pang harap, selepas Nur akan ada banyak lagi naskhah lain yang memaparkan lakonan mantap Noorkhiriah.

Pelakon-pelakon baru patut belajar daripadanya. Jangan asyik ulang berlakon karakter sama sahaja. Nanti peminat pun muak sampai termuntah.

Cik Pang: Sentiasa mengagumi lakonan pelakon hebat tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Jun 2018 @ 5:51 AM