Aiman kata banyak skrip drama teruk dan tiada inspirasi. FOTO AZIAH AZMEE
Aiman kata banyak skrip drama teruk dan tiada inspirasi. FOTO AZIAH AZMEE
Ramlah Zainal


PELAKON, Aiman Hakim Ridza, 29, mengakui tidak takut namanya disenarai hitam mana-mana pihak berhubung dakwaannya banyak skrip drama dihasilkan ketika ini tidak berkualiti dan seperti 'sampah'.

Malah, pelakon yang dikenali menerusi drama Girlfriend Dari Neraka dan Isteri Separuh Masa ini, dia bersedia bersemuka dengan penulis skrip untuk berbincang isu terbabit.

"Saya sudah enam tahun berkecimpung dalam industri seni tanah air.

"Pada pemerhatian saya, banyak skrip drama yang dihasilkan teruk dan penulis tidak menghasilkan skrip yang sepatutnya memberi inspirasi pada penonton.

“Saya pernah bersuara mengenai isu skrip ini tetapi ia masih tidak berubah.

"Kini, sudah sampai masanya kita ke depan untuk membuat pembaharuan demi masa depan industri seni tanah air,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Aiman, rata-rata skrip drama dihasilkan ketika ini lebih kurang sama saja.

"Malah, banyak skrip drama dihasilkan teruk, sambil lewa dan ‘membunuh industri seni.

“Sebenarnya, bukan pelakon yang kayu sebaliknya, penulis skrip dan pengarah yang kayu kerana mereka yang hasilkan cerita sedemikian,"katanya.

Justeru, kata Aiman, dia juga banyak menolak tawaran berlakon kerana skrip dihasilkan tiada kelainan sejak kebelakangan ini.

“Sebab itu wajah saya jarang muncul di kaca TV kerana bosan untuk ke lokasi drama di mana skripnya ‘sampah’ dan membunuh jiwa.

“Saya tidak akan sewenang-wenangnya terima apa saja skrip ditawarkan.

“Selalunya, saya akan berbincang dengan penulis skrip dan meminta mereka mengubah skrip itu dulu untuk menjaga kualiti karya dihasilkan.

“Pada masa sama, saya juga percaya ramai pelakon berdepan isu yang sama tetapi tiada pilihan kerana berlakon untuk menyara hidup,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 1:07 PM