Ghaz Abu Bakar. FOTO GHAZALI KORI
Ghaz Abu Bakar. FOTO GHAZALI KORI
Norhayati Nordin


PENGARAH, penulis skrip dan penerbit drama, Ghaz Abu Bakar menyarankan pelakon berbakat di negara ini supaya cuba menulis skrip sendiri untuk dijadikan naskhah drama.

Saranan dibuat selepas timbul isu pelakon mendakwa kebanyakan skrip drama dihasilkan kini tidak berkualiti dan umpama 'sampah' yang harus dilakonkan mereka.

Menurut penulis skrip drama Banteras yang bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu, adalah satu tuduhan berat untuk seseorang pelakon mendakwa skrip sebuah drama dibintanginya adalah 'sampah'.

Ghaz berkata kenyataan skrip sampah itu tidak sepatutnya dikeluarkan kerana sebagai penggiat seni terutama pelakon perlulah ikhlas dalam bekerja.

"Jika pada awalnya, seseorang pelakon itu tahu skrip drama akan dibintanginya umpama 'sampah', dia sepatutnya terus saja buat keputusan menolak tawaran drama berkenaan.

"Usahlah terima tawaran jika begitu dan tidak perlulah berlakon drama berkenaan kerana apabila membuat kerja tidak seikhlas hati maka hasilnya akan terserlah pada lakonan dipersembahkan.

"Bagaimanapun, saya tidak nafikan memang kebanyakan skrip drama dihasilkan kurang bagus tetapi tidaklah sampai pada tahap seperti sampah.

"Malah, sebagai pelakon boleh saja membuat perbincangan dengan pengarah jika mendapati skrip ditulis itu tidak sesuai dan lebih bagus kalau dia (pelakon) bertindak kreatif dalam menzahirkan watak dilakonkannya," katanya.

Apapun, Ghaz berkata dia menganggap luahan pelakon yang mendakwa skrip drama dibintangi itu 'sampah' sebagai berkongsi perasaan tidak selesa yang mungkin sudah lama dipendam dalam hati.

"Disebabkan itu saya cadangkan supaya pelakon berbakat di negara ini belajar hasilkan skrip sendiri. Mana tahu, ilham skrip dihasilkan mereka itu lebih bagus untuk dijadikan drama.

"Tidaklah berterusan menuding jari pada penulis skrip apabila naskhah dihasilkan umpama sampah. Cuba tulis skrip dulu dan kongsikan ilham itu bersama," katanya.

Baru-baru ini, pelakon Aiman Hakim Ridza membuat kenyataan berani apabila mendakwa kebanyakan skrip drama dibintanginya 'sampah' termasuk naskhah terbaru lakonannya, Full House.

Apapun, Ghaz kini dalam proses menyiapkan penggambaran drama Banteras sebanyak 12 episod untuk disiarkan Astro dan bekerjasama dengan pihak SPRM.

Mengakui setiap skrip ditulisnya perlu dirujuk dengan SPRM, Ghaz berkata masih ada juga skrip drama yang bagus dan berkualiti dihasilkan seperti drama Nur yang kini disiarkan di TV3.

SDrama Banteras membariskan pelakon seperti Khir Rahman, Kamal Adli, Zahiril Adzim, Sangeeta dan ramai lagi.

Untuk rekod, Ghaz adalah pengarah filem aksi terhebat 2015, Polis Evo yang berjaya mencatat kutipan pecah panggung di Malaysia sebanyak RM17.3 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 3:19 PM