ENGGAN ‘penatkan’ diri, yakin populariti tiba jua.
ENGGAN ‘penatkan’ diri, yakin populariti tiba jua.
Norhayati Nordin


Ketika kebanyakan artis yang baru hendak mencipta nama terkejar-kejar mengintai peluang publisiti, ia nyata bukan pilihan Fahad Iman.

Fahad, 25, yang hampir tiga tahun aktif sebagai pelakon berkata, bukanlah dia tidak perlukan langsung publisiti tetapi yakin ia akan datang apabila tiba masanya.

Menurut pemilik nama sebenar Mohamad Fahad Iman Mohd Zulhissham ini, dia juga melihat perjalanan kerjaya seni yang diceburi kerana minat dan masih jauh untuk diterokai.

“Dalam tempoh tiga tahun, saya masih baru dan kurang pengalaman lagi. Saya harus tingkatkan usaha untuk mengetengahkan bakat lakonan ini.

“Saya yakin peluang dan masa akan menentukannya. Apatah lagi, saya pasti kejayaan tidak mudah dimiliki tanpa cabaran,” katanya.

Terdahulu, Fahad hadir pada majlis pelancaran drama portal Astro Gempak terbaru, 3 Gadis Manis musim kedua yang dibintangi Hannah Delisha, Yaya Zahir dan Dee Alhadi.

Melakonkan watak Sufian dalam drama portal ini, Fahad berkata, dia juga tidak kisah asyik disogok dengan tawaran sebagai pelakon pembantu.

“Siapa yang tidak mahu berlakon sebagai hero. Saya pun menginginkannya tetapi percaya masa itu akan tiba suatu hari nanti. Kena bersabar dulu.

“Setiap rezeki itu sudah ditetapkan Allah SWT. Jadi, saya harus sabar menunggu dan pada masa sama giat pertingkatkan usaha.

“Tidak perlu terkejar-kejar kerana itu akan memenatkan diri sendiri. Malah, saya kini selesa mengikut apa yang Allah SWT sudah aturkan,” katanya.

Fahad juga mengakui dia selesa mengurus segala urusan karier seninya sendiri tanpa bernaung di bawah mana-mana syarikat pengurusan bakat.

“Setakat ini, rasanya ibu saya masih mampu membantu menguruskan jadual berlakon serta berbincang soal tawaran untuk saya.

“Lagipun, saya lebih yakin diuruskan oleh ibu sendiri. Saya sangat selesa dan pergi bekerja pun dalam keadaan yang sentiasa bersemangat,” katanya.

Kini sibuk di lokasi penggambaran drama untuk TV3, Fahad berkata, dia juga bersyukur rezeki tawaran berlakon masih tidak putus-putus.

Menyedari namanya belum berada pada tahap popular, Fahad berkata, apa yang menjadi keutamaannya adalah memastikan karier lakonan kekal stabil.

Tahu kewujudan persaingan sengit sesama selebriti baru dan senior dalam bidang lakonan, Fahad berkata, usah iri hati dan beranikan diri untuk terus mencuba.

Mula menceburi bidang lakonan pada 2016 menerusi drama Isteri Vs Tunang, Fahad juga membintangi drama Suri Hati Mr Pilot, Ku Kirim Cinta dan Pengantinku Jatuh Dari Langit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 11:10 AM