Hans belum bersedia untuk bercinta lagi. FOTO MAHZIR MAT ISA
Hans belum bersedia untuk bercinta lagi. FOTO MAHZIR MAT ISA
Michelle Gun


"SAYA masih tak boleh 'move on'. Rasa sakit ada lagi," kata pengarah dan pelakon, Datuk Hans Isaac yang berkongsi perkembangan terbaru hidupnya selepas putus tunang Oktober tahun lalu.

Hans, 47, mengakui serius dan sedia memberi komitmen penuh untuk mendirikan rumahtangga.

"Apabila pihak sana tidak memberi komitmen 100 peratus, saya terpaksa memutuskan hubungan dengannya.

"Bukan mudah bagi saya membuat keputusan putus tunang.

"Saya tidak mahu tahu di mana dia sekarang dan sudah menyekat nombor serta membuang semua perkara berkaitan dengannya," katanya pada sidang media Lawak Ke Der, hari ini.

Bagaimanapun, Hans enggan mendedahkan punca sebenar dia dan bekas kekasihnya putus tunang.

Penerbit Lawak Ke Der itu memberitahu memerlukan masa selama beberapa tahun untuk melupakan pengalaman putus tunang.

"Bagi memulihkan kekecewaan itu, saya melancong selama tiga bulan dan banyak menghabiskan masa untuk diri sendiri di gimnasium.

"Selepas ini, saya akan ke London untuk mengambil kursus Teknikal Teater," ujarnya.

Buat masa sekarang, Hans belum bersedia untuk bercinta lagi dan lebih selesa sekadar berkawan dengan mana-mana wanita.

Januari tahun lalu, Hans bertunang dengan model Gabrielle Robinson dan mereka sepatutnya berkahwin pada 29 Julai lalu.

Hans kemudian mengumumkan perkahwinan mereka ditunda sebelum mengesahkan putus tunang dengan wanita terbabit Oktober tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 8:39 PM