Riadz Radzi


SEJAK Joe meninggalkan Wings pada 2016, ramai peminat mengharapkan pemain gitar popular itu bergabung semula dengan Muss yang pernah bersama Wings pada 1996 hingga 2000.

Mereka menyifatkan gandingan Joe dan Muss memberi kelainan buat Wings ketika itu.

Dengan gubahan muzik lebih keras, berat serta vokal padu Muss menjadikan muzik Wings lebih segar dan baharu.

Kini, harapan peminat menjadi kenyataan apabila kedua-duanya bakal tampil dengan Konsert Barbarik-Pentas Keras di Zepp Kuala Lumpur, Sabtu ini jam 8.30 malam.

Mereka akan disertai Ainol (dram), Rozaimie (bass) dan Adi (keyboard) yang juga anggota kumpulan PrimeD yang ditubuhkan Joe sebelum ini.

Konsert Barbarik-Pentas Keras diadakan sempena album studio kesembilan Wings iaitu Mr Barbarik pada 2000. Ia juga album terakhir Mus bersama Wings.

Bersama Eddie (bass) dan Black (dram), mereka menghasilkan empat lagi album iaitu Biru Mata Hitamku pada 1996, Mencari Asal Usul (1998), Double Trouble 2 (bersama Search pada 1998) dan album raya, Puisi Aidilfitri.

Muss menggantikan Mel yang meninggalkan Wings pada 1995. Sebelum itu Awie meninggalkan Wings pada 1993, namun menyertai Wings semula pada 2000 hingga hari ini.

Joe ketika ditemui berkata, Barbarik lebih kepada projek khas dia bersama Muss dan bukan sebuah band.

GANDINGAN 'otai' dan pemuzik muda.
GANDINGAN 'otai' dan pemuzik muda.

"Buat permulaan ini kami tak nak pergi terlalu jauh seperti jadikan ia band yang tetap. Kami buat projek khas dulu. Kami juga nak jenamakan dulu nama Barbarik ini," katanya.

Menurut Joe, ia adalah perancangan yang serius dan bukan sekadar mengambil kesempatan sebab ada permintaan daripada peminat.

"Kami akan tengok dari segala sudut terutama dari segi kualiti produksinya. Saya juga mahu menjadikan konsert ini sebagai konsert rock terhebat diadakan pada tahun ini," katanya.

Joe berkata, selepas menghasilkan Mr Barbarik kira-kira 22 tahun lalu, mereka tidak sempat membuat apa-apa promosi termasuk mengadakan konsert kerana Muss meninggalkan Wings sebaik album itu dipasarkan.

Namun, dia tak sangka peminat mencari kembali album itu.

"Tak sangka pula pada 2017 dan 2018, ramai yang mendengar dan mencari kembali album itu. Ada yang masih simpan kasetnya.

"Saya dan Muss dah dapat rasakan yang peminat teruja. Namun, terfikir juga, betulkah mereka (peminat) memang nak? Atau sekadar 'keyboard warrior' yang kecoh-kecoh di media sosial saja? Tapi, selepas tiga, empat tahun saya lihat ia konsisten, maka saya pun mengorak langkah," katanya.

Menurut Joe, dia kemudian berjumpa Muss dan minta pendapatnya. Ini kerana peminat turut 'menyerang' laman Facebook Muss meminta perkara sama.

"Saya beritahu Muss ini urusan dulu yang belum selesai dan sekarang adalah masanya. Ingatkan ia tergantung, rupa-rupanya ada penutupnya," katanya.

JOE dan Muss bergabung dalam projek Barbarik.
JOE dan Muss bergabung dalam projek Barbarik.

Dalam pada itu, Muss berkata, dia bersetuju menyertai projek Barbarik ini kerana berasakan sekarang adalah waktu yang sesuai.

"Bila Joe datang dengan idea itu, saya ambil masa lama juga untuk berfikir sebelum bersetuju. Saya nak tahu juga macam mana hala tujunya. Apa yang Joe nak buat ni? Wings lagi satu ke?

"Kalau ikutkan saya dah malas nak main dengan band dan malas nak nyanyi lagu masa dengan Wings dulu. Tapi, saya mula terfikir bila ramai peminat yang minta. Saya tahu ada permintaan di situ. Jadi, di situ saya mula rasakan sekarang adalah masanya," katanya.

Joe berkata, Mr Barbarik berbeza berbanding album Wings yang lain kerana ia adalah 'dark album' dari segi gubahan muzik dan eksperimentasi.

"Kami pilih Mr Barbarik untuk konsert ini juga kerana selepas 22 tahun album itu dipasarkan, peminat masih mencarinya. Lagipun sekarang tak banyak band yang muziknya keras, jadi ini kita nak bagi yang keraslah. Barbarik-Pentas Keras itu merujuk kepada muzik kami," katanya.

Joe mengakui, album Wings ketika bersama Muss berbeza di mana muziknya lebih keras dan berat.

Malah dengan lagu dari album berkenaan, mereka mahu telinga penonton 'berdesing' selepas menonton konsert

mereka Sabtu ini.

GANDINGAN Joe dan Muss disertai anggota kumpulan PrimeD untuk Konsert Barbarik-Pentas Keras.
GANDINGAN Joe dan Muss disertai anggota kumpulan PrimeD untuk Konsert Barbarik-Pentas Keras.

Bayangkan kalau ada Eddie dan Black?

Ramai peminat lebih teruja sekiranya Joe mengundang Eddie dan Black dari Wings menyertai mereka pada konsert itu.

Namun, Joe tidak berasakan ia langkah yang sesuai walaupun kedua-duanya bermain untuk album Wings bersama Muss.

"Tak boleh. Kecoh nanti. Ini tak berkait dengan sesiapa. Lagipun kami tak gunakan nama Wings walaupun lagu yang akan dipersembahkan nanti adalah dari album Wings yang menampilkan saya, Muss, Eddie dan Black.

"Sepatutnya ini takkan timbulkan apa-apa isu. Sejarah tetap sejarah. Lagu yang akan kami mainkan nanti juga berbeza kerana ia bukan dari album yang menampilkan Datuk Awie sebagai penyanyi," katanya.

Joe berkata, dia tidak mahu menjadi seperti Search dan tidak terfikir langsung untuk mencipta 'Wings 2' dan sebagainya.

"Kalau nak kecoh-kecoh macam Search tu tak mahulah. Kita dah berusia ni tak payah. Saya tak mahu orang buat perbandingan dengan Wings nanti dan sebab itu saya mahu jenamakan Barbarik itu. Lagipun Wings sekarang ini dah okay.

"Saya takut jika salah perancangan dengan Muss, ia akan merosakkan nama Wings. Lagipun saya bukan lagi anggota Wings. Namun, saya buat hala tuju yang saya mahu. Kalau ada peminat nak banding-bandingkan kami, itu memang tak boleh buat apa-apa sebab ia memang dah ada. Apa yang penting ialah apa yang kami nak buat. Kalau fikir apa orang nak kata, letihlah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Joe berkata, tahun depan ada perancangan besar untuk Barbarik sekurang-kurangnya untuk dua tahun.

"Kami akan fokus konsert dulu. Kami nak tengok dulu peminat ini serius atau tidak mahukan kami. Akan tengok dulu bagaimana momentum konsert ini nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 6:00 AM