AMYZA bersama rakan artis yang menziarahi suaminya.
AMYZA bersama rakan artis yang menziarahi suaminya.
Rudy Imran Shamsudin

Pelakon dan pelawak Amyza Aznan meluahkan kelegaannya apabila keadaan kesihatan suaminya Khairil Izhar Mohd Nazir semakin stabil selepas keluar dari hospital minggu lalu.

Bagaimanapun, kata Amyza, keadaan suaminya masih perlu dipantau terutama membabitkan jadual makan ubat dan menjaga pemakanannya.

“Selepas menjalani rawatan, doktor mengesyaki jantung Khairil tersumbat. Dia juga menghidap darah tinggi. Selain itu doktor turut mengeluarkan sejumlah air dari dalam paru-parunya.

“Sepatutnya Khairil perlu menjalani rawatan angioplasti, tetapi saya berasakan ada baiknya rawatan itu dilakukan kemudian andai situasi semakin teruk. Setakat ini keadaan Khairil masih stabil dan saya memantaunya dengan memastikan dia makan ubat diberikan doktor,” katanya.

Jelas Amyza lagi, dia akui apabila pihak hospital beritahu suaminya datang bersendirian untuk mendapatkan rawatan ia adalah detik paling mencemaskan. Bukan itu saja sepanjang tempoh Khairil ditahan di wad, ia adalah dugaan paling besar dalam hidupnya. Tambahan pula tegas Amyza sepanjang 13 tahun mereka berkahwin dia banyak bergantung dengan suaminya.

“Dugaan datang tanpa diduga. Bayangkan selama seminggu Khairil mendapatkan rawatan di hospital, saya perlu melangsaikan penggambaran di dua lokasi drama iaitu Monalisa dan sitcom Mamu Mami Gosip.

“Anak pula tidak ada orang yang jaga kerana saya tiada pembantu rumah. Sejak menimang cahaya mata pertama, kami bersama-sama menjaga dan membesarkan anak.

“Allah SWT itu Maha Adil. Berdepan dengan dugaan tetapi Dia permudahkan segala urusan saya. Pada waktu sama ibu saya yang kurang sihat sanggup datang ke rumah menjaga cucunya,” katanya

AMYZA dan Khairil Izhar.
AMYZA dan Khairil Izhar.

Jelas Amyza lagi, ibunya baru saja menjalani pembedahan di kepala kerana penyakit darah tinggi. Bagaimanapun, kekuatan dan semangat ibunya turut menjadikannya kuat.

“Orang nampak mudah, tetapi sebenarnya kekuatan kena datang daripada kita sendiri. Kalau saya tak mampu menghadapinya, bayangkan keadaan suami di hospital. Celik mata, saya kena uruskan anak. Kemudian ke lokasi penggambaran dan pergi ke hospital menguruskan suami pula.

“Selain keluarga, kawan-kawan dan doa peminat menerusi Instagram menjadi sumber kekuatan saya. Saya juga lega kerana setiap hari melawat suami di hospital, dia semakin sihat dan menyambut kedatangan saya dengan senyuman,” katanya.

Menurut Amyza lagi, walaupun Khairil sudah nampak sihat, pergerakannya agak perlahan.

“Saya ikut saja apa yang doktor suruh buat sementara menunggu jadual untuk pemeriksaan seterusnya,” katanya.

Kata Amyza lagi, dia memang ‘terasa’ apabila suaminya terpaksa dirawat di hospital kerana selama 13 tahun dia memang bergantung penuh pada Khairil.

“Segala urusan dilakukan suami termasuklah membayar segala bil, sehinggakan kad ATM saya, suami yang pegang kerana sepanjang kami berkahwin memang urusan rumah tangga dia banyak membantu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 3:39 AM