Rudy Imran Shamsudin


Sebahagian besar peminat band popular Indonesia, Nidji kini bimbang apabila timbul khabar mengatakan mereka bakal berpecah.

Ia berikutan penyanyi utamanya Giring Ganesha membuat keputusan menyertai politik secara serius bermula tahun depan.

Tambahan pula, sewaktu menjayakan Konsert Gegaran di Bulatan Bazarena, Shah Alam, Sabtu lalu bersama Search, Hujan, Bunkface dan Oh Chentaku, wakil syarikat rakaman mereka Universal Music mengatakan ia adalah konsert terakhir Nidji sebelum semua anggotanya membawa haluan masing-masing.

Ditemui sebelum konsert berlangsung, Nidji yang dianggotai Andro (bass), Run-D (keyboard), Rama (gitar), Ariel (gitar) dan Adri (dram) menafikan mereka bakal berpecah dan Giring akan meninggalkan Nidji untuk aktif sebagai ahli politik.

Andro berkata, Nidji tidak akan berpecah atau dibubarkan apabila Giring mula aktif berpolitik, sebaliknya ia akan direhatkan buat sementara waktu.

Menurutnya, tanpa Giring, mereka tampil dengan beberapa projek menggunakan nama Nev+.

GIRING (tengah) bakal ‘meninggalkan’ rakan-rakannya (dari kiri) Ariel, Andro, Adri dan Rama untuk aktif dalam politik.
GIRING (tengah) bakal ‘meninggalkan’ rakan-rakannya (dari kiri) Ariel, Andro, Adri dan Rama untuk aktif dalam politik.

“Nev+ sudah pun bekerjasama dengan beberapa artis seperti Dea yang kami tampilkan dalam album terbaru Nidji. Kami juga ada projek bersama bekas penyanyi kumpulan Samson, Bam dan Ariel dari Noah,” katanya.

Andro berkata, besar kemungkinan Nidji akan berehat selama dua tahun sebelum tampil dengan karya terbaru.

“Kami masih lagi mempunyai kontrak dua album dengan syarikat rakaman. Jadi, tidak mungkin Giring akan meninggalkan Nidji terus dan kami akan bubar,” katanya.

Ditanya mengenai keputusan Giring menyertai politik, Rama berkata, mereka tidak terkejut kerana sebelum itu lagi Giring sudah mula menunjukkan minat.

“Memang berat hati kami menerima kenyataan itu kerana sudah bersama sepanjang 15 tahun. Bagaimanapun setiap daripada kami sedang belajar untuk menerima kenyataan.

“Suka atau tidak, setiap anggota Nidji harus menerimanya kerana apa yang cuba dilakukan Giring adalah perkara baik iaitu memperjuangkan nasib bangsa. Sebagai kawan kami sentiasa mendoakan apa yang diimpikan Giring akan menjadi kenyataan. Jujur apa saja yang berlaku selepas ini, semua anggota Nidji akan sentiasa berada di belakangnya,” katanya.

GIRING bersama Rama.
GIRING bersama Rama.

Dalam meneruskan perjuangan dan menggunakan nama baru iaitu Nev+, sudah tentu muzik mereka tampilkan jauh berbeza dengan apa yang diketengahkan Nidji sebelum ini.

Rama berkata, mereka mahu menampilkan muzik baru yang makin berkembang iaitu Electro Dance Music (EDM).

“Dalam masa sama kami cuba bersikap terbuka dan menjalin kerjasama dengan mana-mana artis yang sedia bekerjasama dengan kami.

“Apa juga yang berlaku, setiap anggota Nidji akan meneruskan minat dan kecintaan kami terhadap dunia muzik,” katanya.

Giring pernah diugut bunuh

Walaupun aktif berpolitik, Giring tidak ada masalah untuk kembali bersama Nidji merakamkan album terbaru.

Giring berkata, situasi mereka cuma dia tidak dapat memenuhi undangan bagi mengadakan persembahan bersama Nidji.

“Konsert kami di Shah Alam adalah yang terakhir di Malaysia sebelum Nidji direhatkan. Konsert terakhir kami di Indonesia pula ialah hujung bulan ini.

Menceritakan bibit kecintaannya yang tiba-tiba tumbuh dalam dunia politik, Giring berkata, dia kagum dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo yang mendahulukan rakyat berbanding dirinya sendiri.

“Sekarang saya melihat ramai pejuang muda dalam dunia politik Indonesia berjuang menegakkan keadilan dan memastikan kestabilan kehidupan rakyat.

“Saya ingin berjuang bersama ahli politik muda ini yang mahu mendahulukan rakyat dan paling ingin saya memperjuangkan adalah menghentikan rasuah yang banyak berleluasa sebelum ini dalam pemerintahan dan pentadbiran,” katanya.

GIRING melakukan stage diving dan disambut penonton.
GIRING melakukan stage diving dan disambut penonton.

Bagaimanapun, berdepan dengan dunia politik bukan mudah kerana penuh dugaan dan cabaran. Apatah lagi orang banyak mengaitkan politik dengan perkara negatif.

Menjelaskan mengenai perkara itu, Giring mengakuinya dan menceritakan sebaik dia meluahkan hasrat untuk menyertai politik banyak kejadian berlaku.

“Apabila saya mula menyatakan pendirian membabitkan soal politik, banyak ugutan diterima termasuk ada yang mahu membunuh saya.

“Isteri menangis kerana dia tidak mahu ada perkara buruk berlaku terhadap kami sekeluarga. Tapi saya terangkan, perkara seperti itu tidak akan menghalang saya memperjuangkan apa yang ingin saya perjuangkan.

“Selepas beberapa lama dia melihat usaha yang saya tunjukkan dan dia mula faham. Sekarang dia adalah tulang belakang dalam perjuangan saya,” katanya.

PEMAIN keyboard Run-D.
PEMAIN keyboard Run-D.

Nidji pukau lebih 5,000 penonton

Konsert Gegaran yang berlangsung di Bulatan Bazarena, Shah Alam menampilkan Nidji bersama Search, Hujan, Bunkface dan Oh Chentaku, Sabtu lalu antara konsert paling menarik diadakan tahun ini.

Lima band rock dengan genre dan generasi berbeza berjaya menyatukan penonton pada malam itu.

Pastinya, Nidji adalah tarikan utama dalam konsert yang bermula kira-kira jam 5 petang itu.

Nidji tampil sebagai band keempat selepas Oh Chentaku, Bunkface dan Hujan cukup energetik dalam persembahan mereka.

Selain barisan pemuzik berbakat dan hebat memainkan muzik ‘live’, kekuatan utama Nidji datang daripada Giring.

Penyanyi ini bijak berkomunikasi dengan penonton, malah Giring mampu ‘menguasai’ penonton sekali gus menjadikan persembahan Nidji meriah!

PERSEMBAHAN hebat Nidji memukau lebih 5,000 penonton.
PERSEMBAHAN hebat Nidji memukau lebih 5,000 penonton.

Hampir 5,000 penonton melompat, menari dan menyanyi bersama Nidji yang dilihat memiliki kelompok peminat generasi muda di sini.

Pada malam itu Nidji membawakan 10 lagu popular mereka seperti Shadows, Di Atas Awan, Teroesir, Arti Sahabat, Sang Mantan, Laskar Pelangi, Hapus Aku, Biarlah dan Disco Lazy.

Mereka turut membawakan lagu Hancur Aku bersama seorang penyanyi Indonesia, Dea yang digubah semula daripada lagu asalnya yang dinyanyikan Estranged dan Fazura.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 3:09 AM