SEJAK 2019 Nidji tampil dengan penyanyi baru, Ubay (tiga dari kiri).
SEJAK 2019 Nidji tampil dengan penyanyi baru, Ubay (tiga dari kiri).
Lydia Saiful


Kumpulan muzik popular dari Indonesia, Nidji bakal kembali mengadakan konsert di Malaysia bersama penyanyi baru mereka, Ubay.

Konsert yang akan berlangsung di Miri, Sarawak bulan depan itu turut menampilkan dua band tempatan iaitu MonoSterio dan D_Va.

Pengarah Northbound Resources Sdn Bhd (Sarawak) yang juga penganjur konsert, Hazman Hamdan berkata, mereka memilih Miri sebagai lokasi kerana di Semenanjung sudah terlalu banyak konsert diadakan.

"Sebenarnya Miri adalah suatu kawasan yang menarik dan ramai tidak mengetahuinya lagi. Ia bukan saja bersempadan dengan Brunei, tetapi Miri memiliki banyak tempat pelancongan dan konsert ini bakal menaikkan serta memperkenalkan pusat pelancongan di Miri.

"Konsert ini dijangka dihadiri kira-kira 2,500 penonton yang bukan saja dari sekitar Miri dan Brunei, tetapi dari Johor Bahru, Ipoh dan Pulau Pinang juga," katanya.

Sementara itu, kemasukan Ubay, 28, yang menyertai Nidji pada 2019 akan memberikan kelainan kerana tenaga serta vokal luar biasanya terhadap peminat-peminat yang hadir nanti.

Ubay atau nama sebenarnya, Muhammad Yusuf Nur Ubay berkata, dia tidak melihat satu masalah sekiranya ada dalam kalangan peminat yang membandingkan dia dengan penyanyi lama, Giring.

NIJDI ketika mengadakan sidang media atas talian yang diadakan di Kafe Jamaica Blue mengenai konsert  mereka Februari nanti. - FOTO Sadiq Sani
NIJDI ketika mengadakan sidang media atas talian yang diadakan di Kafe Jamaica Blue mengenai konsert mereka Februari nanti. - FOTO Sadiq Sani

"Sekiranya suka dengan lagu yang dibawa oleh kami, sila nikmati. Kira-kira 12 atau 13 lagu yang bakal kami nyanyikan di sana nanti.

"Kami juga akan membawakan lagu lama dan ada juga lagu baru dengan harapan semua peminat di Miri boleh bernostalgia kembali seiring dengan perjalanan muzik kami.

"Kami bakal melancarkan album baru pada tahun ini dan saya buat pertama kali terbabit dalam album kali ini," katanya.

Monosterio dan D_Va juga akan memulakan langkah 2024 mereka dengan membuat persembahan pertama kali di Miri dan ini turut menjadi langkah pemasaran bagi D_Va dalam usaha mempromosi single terbaru mereka Insta Famous yang bakal diterbitkan tidak lama lagi.

Nidji pernah membuat konsert Dream Collaboration di Zepp Kuala Lumpur pada 19 Mac tahun lalu.

ANGGOTA kumpulan Monosterio dan D-Va. - FOTO Sadiq Sani
ANGGOTA kumpulan Monosterio dan D-Va. - FOTO Sadiq Sani

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 6:46 AM