PERSEMBAHAN daripada kumpulan Nidji untuk Konsert i-Jamm sempena KL Jamm. FOTO: Supian Ahmad
PERSEMBAHAN daripada kumpulan Nidji untuk Konsert i-Jamm sempena KL Jamm. FOTO: Supian Ahmad
Syafil Syazwan Jefri


MUZIK mampu menyatukan manusia tanpa mengira warna kulit dan sempadan negara.

Hakikat itu diakui dua band popular seberang, Nidji dan Geisha yang amat teruja apabila kehadiran mereka di Kuala Lumpur sentiasa disambut mesra peminat.

Baru-baru ini mereka diterbangkan ke sini bagi menjayakan konsert di Festival Muzik KL Jamm. Lebih bermakna apabila mereka memperkenalkan vokalis baharu masing-masing.

Geisha membuka tirai persembahan dengan lagu Cukup Tak Lagi dan Selalu Salah. Meski masih baru, Regina Poetiray berjaya menampilkan persembahan memukau sekali gus membuktikan dia layak menggantikan posisi Momo.

Menariknya, ini adalah kali pertama Geisha hadir dengan formasi baharu selepas tujuh tahun tidak menjejakkan kaki di Malaysia.

“Ini kali pertama selepas tujuh tahun kami tidak ke sini dan kali pertama juga memperkenalkan formasi baharu,” kata gitaris utamanya, Roby.

Tambah Roby, mereka terkejut apabila dilamar beraksi di acara berskala besar itu.

DUA kumpulan perkenal vokalis baharu Regina Poetiray, Yusuf Ubay di Festival Muzik KL Jamm.
DUA kumpulan perkenal vokalis baharu Regina Poetiray, Yusuf Ubay di Festival Muzik KL Jamm.

“Pada awalnya, kami fikir ia konsert biasa tetapi apabila tiba di Kuala Lumpur, kami dimaklumkan ia festival muzik yang membariskan band dan penyanyi dari pelbagai negara.

“Jadi, kami rasa sa­ngat berbesar hati kerana berpeluang untuk beraksi bersama wakil-wakil dari negara lain dan menjadi sebahagian daripada acara besar ini,” katanya.

Menerusi persembahan itu, Geisha yang juga diang­gotai Nard Alief, Aan dan Dhan turut menghiburkan penonton dengan lagu Cinta dan Benci, Lumpuhkan Ingatanku serta dua lagu baharu iaitu Rahasia dan Kering Air Mataku.

Suasana kian hangat apabila Nidji mengambil alih pentas dengan memperkenalkan vokalis baharu mereka, Yusuf Ubay.

Tentunya, saat melang­kah ke atas pentas, nama Nidji dilaung peminat tanda sokongan sekali gus menggambarkan betapa terujanya mereka untuk menonton persembahan band pujaan ramai itu.

PERSEMBAHAN daripada kumpulan Geisha.
PERSEMBAHAN daripada kumpulan Geisha.

Memulakan persembahan dengan lagu Hapus Aku, Ku Takkan Bisa dan Kau & Aku, peminat seakan-akan ‘dipukau’ untuk bangun dari tempat duduk dan sama-sama menyanyi bersama Nidji.

Gitarisnya, Rama berkata, selepas dua tahun berehat mereka dengan bangga memperkenalkan vokalis baharu dan karya terkini.

“Sudah lama kami berehat dan sampai masa untuk kami kembali aktif dengan vokalis baharu, Yusuf Ubay.

“Ini kali pertama kami mempersembahkan dua single baharu berjudul Segitiga Cinta dan Vibrasi,” katanya.

Enggan menghampakan pengikut setia, band itu turut mengalunkan koleksi lagu ‘berhantu’ mereka sepanjang berkarya sebagai pemuzik.

Antaranya, Teroesir, Laskar Pelangi, Arti Sahabat, Biarlah dan banyak lagi. Rata-rata peminat tampak berpuas hati dengan persembahan dua band itu dan pastinya ia menjadi kenangan indah buat mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 5:00 AM