HM Digital

Empat hari selepas menyambut Deepavali, Rani Mukerji kehilangan bapanya, Ram Mukherjee, 84, yang meninggal dunia akibat tekanan darah rendah.

Ram yang juga seorang penulis skrip dan penerbit filem menghembuskan nafas terakhir jam 5 pagi Ahad lalu di Hospital Breach Candy, Mumbai di sisi ahli keluarganya.

Menurut isterinya, Krishna Mukherjee, sebelum itu keadaan mendiang baik-baik saja tetapi tiba-tiba tekanan darahnya turun dan terus dikejarkan ke hospital.

“Ram gagal diselamat­kan dan pada jam 5 pagi, doktor mengesahkan dia tiada lagi,” katanya.

Ram yang aktif menerbitkan filem Hindi dan Bengali juga adalah pengasas Filmalaya Studios di Mumbai.

Antara filem terbitan­nya ialah Hum Hindustani pada 1960 yang dibintangi Sunil Dutt, Joy Mukherjee dan Asha Parekh dan filem Leadar (1964) lakonan Dilip Kumar dan Vyjayanthimala.

Rani juga memulakan kerjaya lakonannya dalam filem terbitan bapanya iaitu Raja Ki Aayegi Baarat pada 1997.

Ram turut menerbitkan filem Bengali, Biyer Phool pada 1996 yang dibintangi Prosenjit Chatterjee.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 3:56 AM