SET penggambaran filem Padmavati yang musnah selepas dibakar perusuh.  - Agensi
SET penggambaran filem Padmavati yang musnah selepas dibakar perusuh. - Agensi

Mumbai: Sekumpulan penunjuk perasaan Hindu membakar kostum dan merosakkan set penggambaran filem Bollywood, Padmavati, susulan khabar angin kononnya kisah itu mengaitkan watak utamanya, ratu legenda bercinta dengan pemimpin beragama Islam.

Bintang Bollywood rata-rata menyuarakan sokongan terhadap pengarah filem berkenaan, Sanjay Leela Bhansali selepas kira-kira 30 penyerang membakar set penggambaran filem itu di bandar Panhala di daerah Kohalpur.

Ini bukan kali pertama kontroversi berhubung filem itu. Sebelum ini, kumpulan fanatik kasta, Rajput Karni Sena, menampar dan menarik rambut Bhansali ketika penggambaran filem itu di Jaipur, Rajasthan, Januari lalu.

Pegawai Penyiasat Inspektor Jeneral Vishwas Nangare Patil berkata, perusuh terbabit tidak berpuas hati dengan spekulasi bahawa filem berkenaan menceritakan percintaan antara Ratu Rajput Padmavati atau Rani Padmini yang beragama Hindu bercinta dengan pemimpin Muslim kurun ke-13, Alauddin Khilji.

Penyokong filem itu mendakwa kumpulan tertentu menyebarkan khabar angin untuk kepentingan sendiri.

Filem berkenaan dibintangi oleh bintang Bollywood, termasuk Deepika Padukone, Shahid Kapoor dan Ranveer Singh. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2017 @ 7:01 AM