BARISAN pelakon Dia bergambar bersama peminat.
BARISAN pelakon Dia bergambar bersama peminat.
KETUA Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad Johan Ishak (berdiri enam dari kiri) dan Pengarah Penjenamaan Kandungan dan Strategi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad Sherina Nordin (berdiri lima dari kiri) bersama pelakon serta tetamu pada sidang media telenovela Dia.
KETUA Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad Johan Ishak (berdiri enam dari kiri) dan Pengarah Penjenamaan Kandungan dan Strategi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad Sherina Nordin (berdiri lima dari kiri) bersama pelakon serta tetamu pada sidang media telenovela Dia.
Ridzuan Abdul Rahman


Sejak projek telenovela gabungan produksi dan pelakon Malaysia dan Indonesia diumumkan TV3 tahun lalu, ramai yang tidak sabar menanti tayangannya.

Drama bersiri 60 episod berjudul Dia yang memaparkan kisah cinta tiga segi ini mempertaruhkan nama besar seperti Janna Nick, Izara Aishah, Adi Putra, Zamarul Hisham, Aleza Shadan, Emma Maembong, Fazlina Ahmad Daud, Farouk Hussain dan pelakon Indonesia, Irwansyah serta Sandrinna Michelle Skornicki.

Drama terbitan OrangeTree Production Sdn Bhd dari Malaysia dan Limelight Pictures dari Indonesia turut menggunakan khidmat dua pengarah dua negara iaitu Eoon Shuhaini (Malaysia) serta Omar Olly Alaydrus (Indonesia).

Irwansyah yang hadir ke Malaysia pada pelancaran drama Dia baru-baru ini mengakui amat teruja apabila membintangi drama ini.

“Mudah-mudahan drama ini diterima baik peminat kedua-dua negara. Di Malaysia, 60 episod ini dikira sudah panjang tapi saya mengharapkan ia disambung sehingga lebih banyak episod.

“Saya membawa watak Adit yang mencintai dua wanita. Penulis skripnya bijak mencetuskan kekeliruan Adit dalam memilih antara Emelda (Izara) dan Aira (Janna).

“Saya perlu berupaya menjadi lelaki yang baik tapi juga perlu bijak memainkan karakter kerana dia bukan ‘playboy’,” katanya.

Irwansyah berkata, dia belum pernah berlakon di Malaysia dan menganggap gabungan ini membuka dimensi baru terhadap industri hiburan dua negara.

“Saya berada di Malaysia selama tiga bulan untuk penggambaran Dia. Satu pengalaman baru bagi saya apabila dapat bekerja dengan kru produksi dan pelakon Malaysia.

“Ia satu kenangan manis dan saya anggap Malaysia seperti rumah kedua, malah saya sudah ada abang di sini iaitu Zamarul Hisham,” katanya.

Telenovela Dia akan menemui penonton setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9 malam bermula hari ini.

Sementara itu, Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad Siti Nurlisia Mohd Nadzri berkata, pihaknya berterima kasih kepada semua pihak kerana memastikan penggambaran yang berlangsung selama enam bulan itu berjalan lancar.

“Ini kali pertama TV3 bekerjasama dengan syarikat produksi dari Indonesia untuk menghasilkan drama istimewa ini.

“Sudah pasti ramai peminat merindui lakonan hebat Irwansyah yang sudah lama tidak beraksi di kaca TV.

“Kami yakin telenovela ini mampu membeli jiwa peminat drama Malaysia. Jadi, Dia buah tangan daripada TV3 yang tidak harus anda ketinggalan menonton,” katanya.

Lebih menarik, penggemar novel dan puisi boleh mendapatkan novel Dia hasil nukilan novelis terbaik Anugerah Buku Negara 2017, Umie Nadzimah dan buku Dia & Cinta yang juga kompilasi ayat-ayat cinta ditulis Fedtri Yahya.

Novel dan buku terbitan Penerbitan Karyaseni Sdn Bhd ini boleh didapati di kedai buku MPH dan Popular di seluruh Malaysia pada hujung bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 9:53 AM