KEVIN Anderean.
KEVIN Anderean.
Sudirman Mohd Tahir


Drama Dia yang bakal ditayangkan di TV3 menyaksikan kemunculan ramai pelakon Indonesia selain pemegang watak utamanya, Irwansyah.

Apatah lagi drama terbitan Orange Tree ini membabitkan kerjasama Malaysia dan Indonesia.

Seorang daripadanya ialah Kevin Anderean, 25, yang juga pelakon filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.

Menurut Kevin, dia menjadikan drama bersiri 60 episod ini sebagai pembuka jalan untuk dikenali sekali gus mengembangkan bakat di Malaysia.

“Sudah lama saya mengimpikan peluang sebegini. Namun, disebabkan terikat dengan komitmen lain di sini (Jakarta) saya terpaksa melupakan seketika hasrat itu.

“Jadi apabila ada tawaran saya terkejut dan tak sangka. Tanpa berfikir panjang saya terus bersetuju.

“Bagi saya tawaran ini datang tepat pada waktunya. Saya ambil peluang ini untuk pikat hati penonton.

“Walaupun tidak ada pengalaman di sana (Malaysia), saya percaya drama ini bakal menarik perhatian,” katanya.

Kevin juga meluahkan rasa teruja melakonkan watak Mika, adik kepada Adit lakonan Irwansyah dan turut menjalani penggambaran di Kuala Lumpur.

“Sejujurnya saya tak pernah kenal pelakon Malaysia. Apabila dimaklumkan bakal menjayakan beberapa babak bersama mereka, saya terlebih dahulu buat rujukan mengenai mereka. Ini antara persediaan yang perlu dilakukan.

“Meski bekerja dengan pengarah berbeza, bagi saya itu bukan masalah. Sebagai pelakon saya perlu menyampaikan apa yang diinginkan pengarah. Saya dapati kru dan pelakon Malaysia sangat ramah serta profesional. Pendek kata mudah bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Meskipun ini penampilan sulung Kevin di luar negara, dia berharap ada lebih banyak peluang berlakon di Malaysia selepas ini.

Kevin yang juga pelakon drama Anugerah percaya kehadirannya bukan sekadar menjual rupa tapi lebih kepada bakat.

“Saya tak menolak rezeki sekiranya selepas tayangan drama ini diberi peluang untuk berlakon dalam drama lain. Sesekali ubah angin tak mengapa asal saja ia bagus untuk diri sendiri dan kerjaya.

“Lagipun, saya difahamkan komitmen berlakon dalam drama Malaysia berbeza dengan Indonesia. Pelakon sudah tahu keseluruhan jalan cerita dan jumlah episod.

“Bagi saya itu sangat mudah. Berbanding di sini yang jalan cerita boleh diubah secara terus berdasarkan maklum balas penonton.

“Jadi tak mustahil drama Anugerah boleh mencecah 400 episod. Setiap hari ada saja perubahan skrip dilakukan di lokasi berdasarkan jumlah penonton setiap episod.

“Oleh itu, penonton tak boleh menjangka jalan cerita,” katanya.

Reza Rahadian sebagai idola

Kevin yang memulakan kerjaya lakonan menerusi drama Sekar pada 2008 menjadikan pelakon hebat Reza Rahadian sebagai idola.

Malah Kevin yang juga anak kepada pelakon veteran Indonesia menyifatkan Reza seorang pelakon yang berbakat.

“Setiap kali melihat lakonan Reza saya berasa sangat teruja. Saya tak tahu dari mana dia dapat ‘kuasa’ untuk menjadi orang lain dalam dirinya. Bagi saya setiap watak yang dilakonkan berjaya disampaikan dengan baik.

“Baik watak baru yang dicipta atau tokoh sedia ada, Reza tak pernah gagal. Peluang berlakon dengannya dalam filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck pada 2013 satu pengalaman berharga untuk saya,” katanya yang turut mengagumi bakat Leonardo De Caprio.

Perkembangan lain, Kevin juga berbakat dalam bidang nyanyian. Namun fokus dan keutamaan diberikan kepada kerjaya lakonan.

“Saya memang minat menyanyi sejak kecil. Malah pernah bercita-cita bergelar penyanyi tetapi rezeki dalam bidang lakonan datang dulu. Disebabkan itu, saya mahu fokus apa yang ada dalam genggaman sekarang.

“Kalau akan datang ada peluang menyanyi, mungkin saya boleh cuba. Buat masa ini menyanyi hanyalah hobi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2017 @ 11:33 AM