FREDDIE (kanan) bersama tetamu VIP termasuk Dr Loga (dua dari kiri).
FREDDIE (kanan) bersama tetamu VIP termasuk Dr Loga (dua dari kiri).
DRAMA Band memukau dengan persembahan mereka.
DRAMA Band memukau dengan persembahan mereka.
SALEEM tetap diminati.
SALEEM tetap diminati.
Sudirman Mohd Tahir


Program karnival KL Xtravaganza siri ketiga melabuhkan tirainya kelmarin dengan menyaksikan satu lagi kejayaan buat penganjur iaitu Persatuan Karyawan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Seperti penganjuran sebelumnya, program yang turut mendapat kerjasama Persatuan Penulis dan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM) dan beberapa agensi kerajaan lain turut dimeriahkan dengan persembahan artis popular tanah air.

Cuma, berbeza kali ini apabila konsert pada sebelah malam membariskan gabungan penyanyi lama dan baru sempena sambutan Hari Malaysia.

Antara artis terbabit, Sufian Suhaimi, Nabila Razali, Zarul Umbrella, Drama Band, Siti Saerah, Datuk Yusni Hamid, Datin Paduka Julie Sudiro, Shidee dan Saleem.

Menurut Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez, idea itu bagus dan akan terus dipraktikkan dalam siri seterusnya.

“Bagi saya persembahan konsert pada acara kali ini sangat istimewa. Sebagai contoh kita menjemput Yusni dan Julie. Kedua-dua mereka jarang membuat persembahan di tempat terbuka. Siapa sangka kemunculan mereka masih diingati peminat.

“Selain itu, Shidee yang sentiasa memukau dengan gaya nyanyiannya. Tidak terkecuali Saleem yang memberikan persembahan bertenaga. Tidak keterlaluan jika saya katakan, Saleem mampu menarik penonton.

“Namun begitu, tidak dilupakan populariti penyanyi baru yang dinantikan peminat. Disebabkan itu, saya suka dengan gabungan sebegini. Sedikit sebanyak kelompok penonton yang datang juga pelbagai,” katanya.

Freddie berkata, program yang berlangsung selama sehari itu turut berjaya mencapai sasaran apabila dihadiri lebih 10,000 pengunjung.

“Secara keseluruhan dari pagi sampai malam, program ini mendapat sambutan menggalakkan. Ia sekali gus menyaksikan sasaran berjaya dicapai. Terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam menjayakan acara ini.

“Paling penting, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan turut berpuas hati dan kagum. Dia memuji acara ini terutama pada persembahan konsert. Dia mencadangkan agar program ini diteruskan,” katanya.

Freddie berkata, ‘lampu hijau’ diberikan Dr Loga itu akan diusahakan secepat mungkin.

“Perkara ini perlu dibincangkan dulu dan saya akan menyerahkan kertas kerja kepada menteri. Saya merancang mengadakan karnival ini di kawasan Lembah Pantai pula. Perancangannya mungkin bulan hadapan.

“Sekiranya diluluskan, saya berjanji untuk memantapkan lagi pengisian program sepanjang karnival berlangsung kerana mahu acara ini lebih berjaya,” katanya.

Teruja

Bagi Yusni, dia berasa bertuah kerana dipilih menjayakan persembahan pada acara konsert.

“Kalau boleh saya nak menyanyikan beberapa lagu lagi tetapi kesuntukan masa. Bukan selalu saya berpeluang menjayakan persembahan sebegini. Jadi dengan peluang yang diberikan ini, saya mahu memanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

“Saya gembira melihat sambutan diberikan penonton. Mereka sangat ‘happening’ dan turut menyanyi bersama. Saya tidak sangka ada juga yang masih ingat lagu lama,” katanya.

Yusni yang berkongsi pentas bersama Julie menyanyikan dua lagu secara duet iaitu Kuala Lumpur dan Tanah Pusaka meluahkan rasa puas. Malah mereka sempat berjenaka di pentas mengatakan diri mereka masih ‘sweet 17’.

Sementara itu, Sufian juga seronok dan teruja dapat menyanyi dengan beberapa penyanyi legenda. Katanya, jika bukan pada acara sebegini dia pasti tidak berpeluang berjumpa dengan mereka.

“Saya kagum dengan semangat mereka yang masih kuat untuk menghiburkan peminat. Benar, mereka berada dalam kelas tersendiri kerana masih diminati. Lagu yang disampaikan mereka pula segar dalam ingatan peminat.

“Sebagai penyanyi baru, ini satu pengalaman berharga untuk saya. Biarpun tidak berpeluang menyanyi bersama tetapi dapat berjumpa, berjabat tangan dan bercerita juga satu kegembiraan untuk saya,” katanya.

Sufian yang menyanyikan lagu Harus Aku dan Terakhir mendapat sorakan peminat tatkala mempersembahkan kedua-dua lagu itu.

Kejutan buat penonton juga apabila, Dr Loga turut menyanyikan lagu berjudul Ingin Bersua bersama tetamu VIP lain.

Selain dihangatkan dengan barisan penyanyi, malam konsert KL Xtravaganza digamatkan dengan hos Roslan Shah dan Joey.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 1:19 PM