Najiy Jefri

Lebih 10,000 penonton membanjiri program Santai Best! Harian Metro yang berlangsung di Melaka Wonderland Theme Park & Resort, Melaka, Sabtu lalu.

Program yang diadakan bagi menghargai pembaca setia Harian Metro itu menampilkan persembahan empat artis popular tanah air iaitu Haiza (DJ Kool FM), Ronnie Hussein, Najwa Latif dan Sufian Suhaimi.

Kemeriahan program Santai Best! bermula seawal jam 8 pagi apabila beberapa khemah di pekarangan pintu masuk taman tema itu dipenuhi orang ramai yang berbaris untuk menebus tiket masuk ke taman tema air itu.

Apa yang mengujakan, lebih 5,000 naskhah Harian Metro disediakan di gerai khas bagi memudahkan pengunjung melakukan penebusan tiket pada saat akhir habis dijual dalam masa lima jam.

Meskipun cuaca panas terik, ia tidak sedikit pun menghalang orang ramai untuk terus berada di taman tema itu bagi menyaksikan persembahan konsert Santai Best! yang bermula pada jam 3 petang.

Penantian peminat yang setia menunggu di depan pentas sejak jam 12 tengah hari berakhir apabila Haiza mula mengacarakan konsert berkenaan. Melihat kelibat penyanyi Dag Dig Dug itu di atas pentas, peminat yang asyik bermain air dan permainan di situ segera mendekati kolam utama bagi melihat persembahan artis secara dekat.

Celoteh Haiza yang petah dan selamba ternyata mampu menggeletek hati pengunjung. Apabila dia mengumumkan nama Najwa Latif untuk memulakan persembahan, suasana bertukar gamat dengan sorakan peminat.

Penyanyi yang mempunyai perawatakan lembut itu menyampaikan single terharunya berjudul Biar dan Sahabat.

Selepas Najwa, giliran Sufian Suhaimi pula menguasai pentas dengan dua single yang meniti di bibir peminat masa ini iaitu Terakhir dan Harus Aku. Kemantapan vokalnya nyata membuatkan peminat teruja.

Sufian juga tidak ketinggalan mencabar keberanian peminat untuk menyanyi bersamanya. Rata-rata peminat yang hadir begitu ‘sporting’ apabila sama-sama menyanyikan lagunya itu selain menyahut cabarannya berduet menyanyikan lagu Terakhir.

Selain nyanyian, konsert berkenaan turut diselang-selikan dengan permainan yang dikendalikan Haiza. Memang gamat jadinya apabila dia mengusik peminat yang mengambil bahagian dalam permainan itu.

Persembahan diteruskan Haiza dengan menyampaikan lagu dangdut popular Indonesia, Perawan Atau Janda diikuti Hang Pi Mana dendangan asal kumpulan Khalifah.

Strategi meletakkan Ronnie sebagai penutup konsert pilihan yang tepat kerana dapat mengikat peminat untuk terus setia menyaksikan konsert ini. Kemunculan Ronnie yang menyanyikan lagu Dikoyak Waktu dan single terbaru, Menanti Janji berjaya memukau peminat.

Lebih menarik, pada sebelah malam semua artis yang terbabit dalam acara ini dibawa menyusuri sungai Melaka untuk menyaksikan panorama indah kota bersejarah itu. Ia sekali gus dapat mengeratkan lagi hubungan baik barisan artis dan Harian Metro yang turut dihadiri Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar dan Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI), Othman Mamat.

Keesokannya turut berlangsung sesi ramah mesra bersama Najwa dan Ronnie di gerai Harian Metro selama dua jam selain penganjur turut mengatur beberapa program seperti tarian poco-poco dan ‘chicken dance’ bagi memeriahkan program Santai Best.

Diajak berkongsi perasaan menjayakan program itu, Najwa mengakui gembira dapat bertemu peminat di Melaka.

“Saya seronok kerana konsep program ini sangat santai. Lebih menarik pengunjung yang hadir terdiri daripada pelbagai golongan dan peringkat umur. Selain itu artis pula bebas mendekati peminat kerana tiada jurang antara kami dan mereka,” katanya.

Sementara itu, Sufian Suhaimi pula berkata program Santai Best! wajar diteruskan dan kelmarin adalah kali pertama dia membuat persembahan di taman tema air.

“Ini konsert yang luar biasa dan menyeronokkan buat saya. Ia bagus diteruskan kerana selain bermandi-manda bersama keluarga, penonton boleh menyaksikan persembahan artis kegemaran mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2016 @ 10:09 AM
MUSTAPA bersama kakitangan Harian Metro menaiki River Cruise.
MUSTAPA bersama kakitangan Harian Metro menaiki River Cruise.
NAJWA perkenalkan single terbaru berjudul Biar.
NAJWA perkenalkan single terbaru berjudul Biar.
KEHADIRAN Haiza sebagai pengacara menghangatkan program itu.
KEHADIRAN Haiza sebagai pengacara menghangatkan program itu.
KEMUNCULAN Ronnie menyanyikan lagu Dikoyak Waktu memukau peminat.
KEMUNCULAN Ronnie menyanyikan lagu Dikoyak Waktu memukau peminat.
EMPAT artis popular gegarkan Santai Best! Harian Metro.
EMPAT artis popular gegarkan Santai Best! Harian Metro.