YUSNI menyanyi dari usia 18 tahun hingga kini.
YUSNI menyanyi dari usia 18 tahun hingga kini.
Oleh Norhayati Nordin


Kembara berdekad perjalanan karier seni Datuk Yusni Hamid, 65, dalam bidang nyanyian ternyata sangat hebat dan sungguh mengagumkan.

Hingga kini meskipun kemunculan penyanyi baru bersilih ganti, kelunakan vokal Yusni sukar digugat.

Ibu kepada tiga anak dan memiliki enam cucu ini kekal murni seakan-akan tidak dimamah usia. Sangat popular dengan lagu Di Wajahmu Ku Lihat Bulan dan Kau Yang Ku Nanti, Yusni tidak lokek petuanya dalam penjagaan suara dan wajah.

Kata Yusni, tiada petua atau pantang larang diamalkan dalam menjaga suara dan wajah. Malah, katanya, dia bersyukur kerana tidak perlu mengelak untuk ambil makanan pedas dan minuman sejuk semata-mata menjaga suara.

“Bagi penjagaan kulit pula, saya tidak mengamalkan sebarang petua. Cuma saya akan pastikan muka dibersihkan daripada mekap sebelum tidur.

“Selain itu, apa yang boleh dikongsi juga ialah ketika muda dulu saya pernah amalkan pencucian muka dengan air bunga yang diembunkan semalaman,” katanya.

Mula menceburi bidang nyanyian seawal usia 18 tahun dan muncul dengan album pertama, Ku Tak Mengerti pada 1982. Sejak itu, nyanyian tidak dapat dipisahkan dengannya dan pernah menghasilkan 10 album sepanjang karier seninya.

Lebih menarik, Yusni adalah penyanyi terlaris untuk persembahan pentas untuk kalangan raja dan kerabat diraja. Yusni mula menjadi perhatian menghiburkan orang kenamaan sejak zaman pentadbiran Allahyarham Tun Abdul Razak lagi.

Pada 2003, Yusni mendapat penganugerahan Datuk daripada Sultan Pahang dan pada 27 Februari ini, Yusni turut menjayakan Konsert Raja & Rakyat Berpisah Tiada di Istana Budaya sempena meraikan Sambutan Ulangtahun Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang ke-85.

Meskipun sudah biasa membuat persembahan buat kalangan raja dan orang istana, Yusni akui persembahan kali ini sangat istimewa dan amat teruja menantikan detik itu.

Ini disebabkan bukan hanya beliau seorang terbabit dalam persembahan istimewa di pentas berprestij itu, malah berkongsi dengan enam lagi penghibur berstatus Datuk.

Mereka adalah Datuk Jamal Abdillah, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Datuk Hattan atau Mohd Shukri Shahabudin, Datuk Leonard Tan, Datuk David Arumugam serta penyanyi Indonesia, Datuk Rossa.

Kata Yusni, selain menyanyikan tiga lagu dalam konsert itu, beliau dirangka berduet dengan Siti Nurhaliza dan Rossa.

“Saya sangat teruja untuk menjayakan konsert ini dan apa yang dapat dijanjikan adalah persembahan terbaik buat penonton di Istana Budaya.

“Apapun, sesi latihan untuk konsert ini bermula pada 24 hingga 26 Februari ini,” katanya.

Kerja amal, kelas agama

Setiap penyanyi pasti menyimpan harapan menghasilkan album baharu. Begitu juga Yusni Hamid yang mengakui ada perancangan untuk muncul dengan single baharu tetapi kini bukan masa sesuai.

Katanya, memang ada memikirkan perkara itu selama ini cuma dalam keadaan pasaran industri muzik tempatan yang kurang baik sekarang, rasanya belum masa sesuai untuk berbuat demikian.

“Saya dapati melodi muzik dan lirik kebanyakan lagu popular yang menjadi perhatian pendengar kini ringkas dan terlalu ‘catchy’.

“Sebagai penyanyi berpengalaman, saya lebih selesa menyanyikan lagu yang liriknya penuh puitis dan dekat dengan jiwa. Apabila menyanyikan lagu itu, liriknya dirasai.

“Apapun, dalam mencari dan mendapatkan lagu yang sesuai tentunya tidak boleh bersikap terburu-buru. Dalam soal ini, biar masa menentukan,” katanya.

Mengenai aktiviti masa lapangnya kini, Yusni berkata, beliau banyak terbabit dengan aktiviti amal. Pada usia tahap emas kini, dia sering melakukan kerja amal dan mengikuti kelas agama selain memenuhi undangan persembahan menyanyi.

“Sebagai ahli jawatankuasa badan bukan kerajaan (NGO) bawah Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM), saya selalu me­ngatur program amal untuk hiburkan kanak-kanak di hospital.

“Setiap bulan, pasti ada aktiviti amal diatur. Umpamanya baru-baru ini, kami bawa beberapa kanak-kanak yang menjalani rawatan di Wad Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) menaiki kapal di Putrajaya,” katanya.

Seronok dengan kerja amal dilakukan, Yusni berkata beliau hanya akan bersama anak, menantu dan cucu yang berkunjung ke rumahnya pada hujung minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2016 @ 5:03 AM