SUBCULTURE
SUBCULTURE
ZARUL antara tarikan peminat.
ZARUL antara tarikan peminat.
Sudirman Mohd Tahir


Pertama kali menganjur program berskala besar, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) berjaya menarik lebih 10,000 penonton dalam Karnival KL Xtravaganza di Wangsa Walk, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, kelmarin.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, program dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan rakan strategik Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) itu adalah kejayaan besar semua pihak yang terbabit.

Pihaknya juga merancang untuk mengadakannya setiap bulan di sekitar ibu negara.

“Ini pertama kali Karyawan mengadakan acara besar begini. Pembabitan semua pihak termasuk sokongan daripada beberapa jabatan kerajaan membantu melancarkan program ini dari pagi hingga malam.

“Walaupun dana yang diberikan bagi menganjurkan acara ini tak besar, kami mencuba melakukan sebaik mungkin. Kepercayaan dan peluang diberikan itu kami manfaatkan sebaik-baiknya. Sebenarnya kami tak sangka ia mendapat sambutan luar biasa.

“Berikutan sambutan yang baik, DBKL menyuarakan hasrat untuk meneruskan program ini. Mereka bercadang mengadakan acara sama di lokasi lain sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Tarikan utama program ini pastinya konsert yang berlangsung pada sebelah malam membabitkan 11 penyanyi popular tanah air.

Konsert yang dihadiri lebih 5,000 penonton itu menampilkan Haiza, Epul Drama Band, Elly Mazlein, Ernie Zakri, Shiha Zikir, Zarul Umbrella, Siti Sarah, Amelina, Ayda Jebat, Projector Band dan Subculture.

Freddie turut berterima kasih kepada WHAM yang menyediakan barisan penyanyi dan pengacara hebat di konsert itu.

“Saya berterima kasih kepada semua artis terbabit. Saya sangat berpuas hati dengan hasil kerjasama sulung ini,” katanya yang bercadang menampilkan penyanyi lama pada konsert akan datang.

Selain konsert, pada sebelah pagi diadakan zumba, sukaneka dan pertandingan bola jaring membabitkan artis dan orang ramai.

Antara yang terbabit ialah Talha Harith, Azwan Kombos, Ezzaty Abdullah, Ameer Forteen, Dior, Almy Nadia, Ani Maiyuni, Farawahida, Iesya Toh, Shikin Dangdut, Aisyah Bujang, Azza Elite, Encik Mimpi dan banyak lagi.

Selain itu, karnival ini menampilkan 15 gerai milik artis antaranya Erra Fazira, Rita Rudaini, Ruhainies, Zulhuzaimy, Aida Gadis Melayu, Shiha, Encik Mimpi, Elly Mazlein, Datuk Rafiena, Aznah Hamid, Ezany, Khai dan Rosma, Imuda dan banyak lagi.

Meriah dan luar biasa

Haiza yang bertindak selaku pengacara pada malam itu menyifatkan penganjuran konsert itu satu peluang terbaik menggabungkan penyanyi lama dan baru.

“Satu saja yang boleh saya perkatakan, sambutan sangat meriah. Penyanyi yang terbabit juga memiliki nama besar. Jadi peminat memang tak sabar nak menyaksikan persembahan mereka.

“Pada masa sama, saya gembira apabila dapat berjumpa rakan artis lain. Selalunya kami jarang berjumpa. Kalau tak ada acara sebegini memang susah.

“Apa yang penting juga ini peluang terbaik penyanyi baru memperkenalkan diri dan lagu mereka. Sedikit sebanyak dapat menimba pengalaman baru,” katanya.

Pada malam itu Haiza turut membuat persembahan pembukaan duet dengan Epul Drama Band menerusi single mereka berjudul Jangan Pernah Berdusta.

Sementara itu, persembahan penyanyi dan pelakon Ayda Jebat antara yang ditunggu-tunggu peminat.

Kelincahan Ayda menari bersama penari iringan Budak Joget menerusi lagu Nakal Nakal Nakal menghangatkan lagi konsert.

“Saya sengaja membawa mereka kerana sesuai dengan lagu rancak. Malah dikebanyakan persembahan pun saya membuat permintaan kepada penganjur untuk membawa penari. Sekurang-kurangnya ia boleh memeriahkan acara.

“Sambutan penonton sangat meriah. Mereka sangat ‘sporting’ apabila diajak menyanyi bersama. Sebagai penyanyi saya gembira melihat maklum balas itu. Tak dinafikan acara sebegini dapat meningkatkan lagi mutu persembahan,” katanya yang turut menyanyikan lagu Pencuri Hati.

Begitu juga dengan Zarul, persembahan terbuka sebegini memberi peluang peminat melihat lebih dekat penyanyi kegemaran mereka.

Zarul yang juga pemenang tempat ketiga program Gegar Vaganza musim ketiga memilih menyanyikan lagu lama Ramalanku Benar Belaka sebagai hadiah buat peminatnya.

“Tak dinafikan persembahan ini adalah kesempatan terbaik untuk saya mempromosikan lagu baru iaitu Jangan Pernah. Pada masa sama lagu wajib adalah Ramalanku Benar Belaka. Kalau tak nyanyi ibaratnya tak puas,” katanya.

Berbeza dengan juara program Duo Star, Ernie Zakri dia menjadikan persembahan terbuka sebegini sebagai peluang untuk memperkenalkan dirinya.

“Sudah lama saya tak menyanyi di acara sebegini. Peluang yang diberikan saya manfaatkan sebaiknya. Sebab itu saya suka nak menyanyi di pentas terbuka.

“Dari segi sambutan peminat memang terkejut kerana mereka menyanyi bersama lagu Jangan Marah. Ia memberi satu lagi pengalaman manis untuk saya,” katanya yang turut menyanyikan lagu baru berjudul Takkan Pudar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 5:01 AM