NAEM kini lebih banyak berada depan kamera berbanding di dapur.
NAEM kini lebih banyak berada depan kamera berbanding di dapur.
Najiy Jefri


Memilih bidang pengacaraan sebagai kerjaya tetap, kecintaan yang perlahan-perlahan disemai sejak awal tahun ini dilihat semakin berkembang mekar.

Siapa sangka berbekalkan susuk fizikal yang mampu mencairkan hati ramai wanita, aura yang dimiliki Cef Naem semakin bersinar.

Malah, jejaka berusia 26 tahun ini juga tidak henti memanjatkan rasa syukur apabila kehidupannya mula berubah apabila dinobatkan juara Hero Oven 2016.

Cef Naem kini menjadi personaliti televisyen yang mendapat perhatian ramai sejak diberikan kepercayaan mengacarakan program Dapur Panas.

Terbaru pemilik nama sebenar Muhammad Naim Ramli ini bakal muncul dalam program masakan Dapur Bujang terbitan HyppTV.

“Alhamdulillah, saya anggap ini rezeki. Satu persatu tawaran diterima dan dipermudahkan. Tak sangka diterima secepat ini walhal saya masuk bidang ini secara tak sengaja.

“Saya nekad menyertai Hero Oven atas permintaan ibu dan tak sangka pula menang. Walaupun kerjaya yang dipilih ini benda baru bagi saya dan agak sukar, saya cuba buat sehabis baik. Saya buang rasa malu selain bergaul dengan orang ramai bagi menghilangkan rasa gugup,” katanya.

Menyingkap kembali perjalanan anak jadi Gombak, Kuala Lumpur ini, dia pernah berkhidmat sebagai chef de partie di sebuah hotel terkemuka ibu kota selama dua tahun sebelum memutuskan berhenti pada Disember 2016 untuk bergelar pengacara televisyen.

Mengakui ada masanya perit apabila kurang tawaran, Naem tidak berhenti berdoa dan terus berusaha keras mencari peluang kerja demi kelangsungan diri selain mahu menyenangkan keluarganya.

“Tahun ini adalah permulaan hidup baru untuk saya. Segalanya berubah 360 darjah apabila lebih banyak berada di depan kamera berbanding di dapur sepanjang tujuh tahun bergelar cef.

“Biarpun kehidupan yang dilalui sedikit terumbang-ambing, saya tidak pernah menyesal memilih jalan ini. Lagipun, tiada perkara bermula dengan mudah. Pengalaman ini mematangkan saya,” katanya.

Naem berkata, dia mengambil masa yang lama sebelum memutuskan berhenti kerja sebagai cef.

“Saya anggap setiap tawaran yang datang pasti bersebab. Lagipun, saya muda lagi, tak rugi mencuba perkara baru.

“Kini saya kena mempelajari teknik penyampaian yang betul dengan pengacara senior dan di YouTube.

“Kalau boleh saya mahu bertahan lama dalam bidang ini. Saya tak mahu hanya sekerat jalan dan biarlah berterusan selagi khidmat diperlukan,” katanya.

Ditanya adakah dia berminat mengembangkan sayap sebagai pelakon sekiranya ada tawaran, Naem terbuka dalam soal ini.

“Jiwa saya lebih kepada masakan tapi saya tidak menolak sekiranya ditawarkan berlakon. Mana rezeki yang datang saya akan buat sehabis baik.

“Saya teringin mengendalikan program travelog dan aktiviti lasak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 3:40 AM