FIKREE  dan Sarah sebagai juri.
FIKREE dan Sarah sebagai juri.
Najiy Jefri

Lazimnya karier tukang masak atau cef didominasi wanita. Namun dunia masakan kini sudah berubah apabila turut disertai ramai lelaki.

Malah, tidak dapat disangkal lagi air tangan golongan Adam juga mampu menambat hati orang ramai. Sehinggakah label lelaki romantik bukan hanya pada kata-kata tetapi juga diterjemahkan menerusi juadah yang disediakan.

Justeru, bagi membuktikan skil di dapur golongan Adam, TV3 menampilkan sebuah program realiti masakan terbaru berjudul Hero Oven. Menerusi program ini 32 peserta akan mempamerkan skil menghasilkan pastri.

Program yang bersiaran selama 30 minit sejak 2 Ogos lalu itu menguji skil lelaki menyediakan kek, roti dan pelbagai manisan. Semua peserta akan diuji berdasarkan pengetahuan dan kreativiti menyelesaikan tugasan yang diberikan.

Lebih menarik, cef selebriti Fikree Najib Aznan dan Cef Sarah Samsul Ariffin tampil sebagai juri tetap selain dibantu penyanyi Kilafairy.

Menurut Sarah, Hero Oven dilihat mampu menyuntik kelainan dan membuktikan bidang masakan kini turut dikuasai lelaki.

“Bagi saya, program ini sangat unik kerana memaparkan pemuda yang gemar membakar kek, pastri dan biskut.

“Secara tidak langsung program ini dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap kerjaya ini. Sebagai wanita saya kagum dengan bakat peserta program ini. Ada di antara mereka profesional dan ada juga amatur,” katanya yang kini berkhidmat sebagai pastri di Singapura.

Kata Sarah, setiap peserta diuji menyelesaikan cabaran mengikut masa yang diberikan.

“Mereka bukan saja diberi cabaran menyediakan manisan seperti Krim Bulee atau Chocolate Lava tetapi juga perlu menghasilkan beberapa manisan Barat menggunakan bahan alternatif yang diberikan.

“Setiap sajian akan dinilai berdasarkan asas, teknik dan kreativiti,” katanya.

Sementara itu, cef rancangan Dapur Panas, Fikree, berkata, semua peserta yang mengambil bahagian melalui proses saringan terlebih dahulu.

“Boleh dikatakan semua peserta amatur ada asas pembikinan pastri. Ketika sesi uji bakat, kami memilih peserta yang pandai buat kek, bekerja dalam bidang masakan dan mengusahakan bisnes berdasarkan bakat yang dimiliki.

“Sepanjang sesi rakaman berlangsung saya kagum melihat hasil kerja mereka. Biarpun masa yang diberikan sangat singkat, mereka mampu menghasilkan kek dan manisan yang sedap dan cantik,” katanya.

Hero Oven bersiaran setiap Selasa, jam 11.30 pagi di TV3 bermula 2 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 11:04 AM